X

Kindly register in order to view this article
!

Rukhsah solat ketika wabak

A
A

TULAR di media sosial tentang keadaan dialami oleh para doktor dan petugas di hospital yang mengendalikan pesakit koronavirus (Covid-19).

Mereka wajib memakai alat pelindung diri atau dalam bahasa Inggeris disebut sebagai Personal Protective Equipment (PPE) sepanjang tempoh bertugas.

Bagi pekerja muslim, tentu meresahkan terutama untuk berwuduk dan menunaikan solat dalam keadaan begitu. Islam adalah agama yang sangat mudah.

Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Sesungguhnya agama itu mudah, janganlah seseorang daripada kamu menyukarkan (menyulitkan urusan agama itu) melainkan kamu akan tewas.” (Riwayat al-Bukhari)

Hadis itu secara jelas memberitahu kita bahawa Rasulullah SAW melarang umat Islam daripada membuat sesuatu yang menyusahkan dalam urusan agama kerana perbuatan tersebut akan menewaskan mereka sendiri.

Bagi semua petugas barisan hadapan yang menangani Covid-19, ada beberapa rukhsah dalam menunaikan solat iaitu sama ada menyapu khuf, jamak tamam, solat hormat waktu, bertayamum atau solat duduk seperti yang pernah ditulis oleh Dr Jefri Irwan Harris dalam Facebook beliau.

Menyapu khuf adalah ganti kepada basuhan kedua-dua kaki ketika berwuduk. Syarat penting menyapu khuf adalah berwuduk dahulu sebelum memakai stoking dan kasut/khuf.

Sapuan khuf boleh diamalkan apabila wuduk tersebut terbatal dengan sebab-sebab yang membatalkan wuduk seperti terkentut.

Maksudnya, mereka wajib berwuduk kembali seperti biasa tanpa menanggalkan kasut, cuma kedua-dua kaki tidak dibasuh sebaliknya disapu air pada permukaan kasut.

Bagi yang tidak musafir, tempoh menyapu khuf sehari semalam sahaja iaitu bermula daripada pengambilan wuduk kali kedua setelah terbatal wuduk.

Dalam situasi di mana tugas tidak boleh ditinggalkan dan tempoh tersebut melebihi waktu solat fardu, mereka boleh menggabungkan (jamak) solat Zuhur dengan Asar dan solat Maghrib dengan Isyak.

Akan tetapi, jamak yang mereka boleh lakukan adalah jamak tamam iaitu tanpa qasar (memendekkan solat empat rakaat kepada dua rakaat). Ini bermakna bagi solat jamak Zuhur dan Asar, setiap solat ditunaikan empat rakaat penuh.

Mereka boleh melakukan jamak taqdim (solat kedua dilakukan dalam waktu solat pertama seperti solat Asar dikerjakan dalam waktu Zuhur) atau jamak ta’khir (solat pertama dilewatkan dan dikerjakan dalam waktu solat kedua seperti mengerjakan solat Zuhur dalam waktu Asar) mengikut keadaan dan situasi sesuai dengan mereka.

Dalam situasi tidak boleh berwuduk dan bertayamum, mereka hendaklah solat hormat waktu sahaja. Maksudnya, melaksanakan solat tanpa wuduk atau tayamum. Solat tersebut wajib diganti (qada’) semula.

Sekiranya tidak mampu berwuduk kerana ada risiko jangkitan, boleh bertayamum sahaja. Sebaik-baiknya guna debu tanah yang suci.

Bagaimanapun, jika tiada debu tanah dan situasi sangat terdesak, mereka boleh menepuk permukaan terdedah seperti dinding jika diyakini tiada risiko jangkitan. Adalah digalakkan menggantikannya jika waktu solat tersebut telah tamat.

Dalam situasi terdesak dan bimbang pergerakan ke tempat lain mendedahkan kepada risiko jangkitan dan tiada ruang solat yang sesuai atau tidak mampu berdiri kerana keletihan melampau, boleh solat duduk di lantai atau di kerusi bergantung kepada situasi.

Solat tidak perlu diulang atau diganti jika mereka mampu menghadap kiblat sepanjang menunaikan solat.

Akhir kalam, kesemua rukhsah itu harus diterima pakai dalam situasi terdesak dan kesukaran (masyaqqah) sahaja kecuali menyapu khuf.

Wallahu a’lam.

* Dr Shamsiah Mohamad berpengalaman sebagai penyelidik isu-isu kewangan Islam dan Syariah


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus