Forum Hawana: Tiada penyelesaian pecahkan monopoli media sosial

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berucap ketika sambutan Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2023 yang berlangsung pada Ahad - Foto: Bernama
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berucap ketika sambutan Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2023 yang berlangsung pada Ahad - Foto: Bernama
A
A
A

IPOH - Pada sambutan Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2023 yang berlangsung di sini hujung minggu lalu, media sosial adalah topik utama kebanyakan acara yang diadakan, sama ada selaku penyangak yang "mencuri” sumber pendapatan media tradisional atapun penyelamat dengan kaedah terbaik untuk kelangsungan dan pertumbuhan organisasi itu.

Hawana tahun ini bertemakan "Media Bebas, Tunjang Demokrasi”, mengupas tentang perlunya sektor media yang bebas tanpa campur tangan mana-mana pihak. Namun, bidang kewartawanan kini diancam oleh media sosial, berdepan bukan sahaja kehilangan pembiayaan tetapi juga kedudukan selaku penyaring fakta dan keupayaan melaporkan kebenaran.

Sejak beberapa dekad yang lalu, media tradisional mengalami kemerosotan susulan kemunculan media sosial yang mengambil alih kedudukan sebagai platform utama pengiklanan menerusi keupayaannya menyediakan pengiklanan mengikut kesesuaian pengguna. Medium itu juga menjadi pemacu utama maklumat dan berita, dengan isu yang dilaporkan lebih awal oleh media sosial meraih tumpuan dan respons orang awam.

Kehilangan pendapatan daripada pengiklanan bermakna banyak organisasi media di negara ini dan juga negara lain terpaksa mengurangkan kos termasuk memberhentikan wartawan, selain membataskan dana bagi kewartawanan penyiasatan. Banyak organisasi media gulung tikar.