Kawal, pantau promosi produk tembakau di media sosial

Dr Mohd Izzar ketika dalam Wacana Sinar siri 399 bertajuk Generasi Penamat Rokok - Daripada Tiga Perspektif yang disiarkan secara langsung di semua platform Sinar Harian pada Selasa malam.
Dr Mohd Izzar ketika dalam Wacana Sinar siri 399 bertajuk Generasi Penamat Rokok - Daripada Tiga Perspektif yang disiarkan secara langsung di semua platform Sinar Harian pada Selasa malam.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan disaran memantau dan mengawal sebarang aktiviti yang mempromosikan produk-produk tembakau termasuk vape di semua platform media sosial.

Pempengaruh media sosial, Dr Mohd Izzar Anwari Abdul Khani berkata, kekurangan kawalan terhadap aspek tersebut menyebabkan mudahnya untuk masyarakat mempunyai akses membeli produk vape di pasaran terutamanya golongan remaja.

Ujar beliau, ibu bapa juga perlu memainkan peranan dalam mendidik anak-anak mereka tentang bahaya penggunaan rokok dan vape serta kesannya terhadap risiko kesihatan diri.

“Kesan rokok itu saya rasa semua orang tahu, cuma (jenis) rokok elektronik yang baru ini masih ramai lagi yang belum ada kesedaran, ditambah pula promosi-promosi pempengaruh media sosial dan selebriti dengan vape.

“Mereka buat macam (hisap vape) itu satu perkara yang baru atau bergaya. Sebab saya tengok vape ini, siap ada ‘roadshow’ (pameran) vape.

“Mereka boleh buat sewenang-wenangnya, boleh jual secara terbuka sebab tiada kawalan,” katanya selaku panelis pada Wacana Sinar siri 399 bertajuk Generasi Penamat Rokok - Daripada Tiga Perspektif yang disiarkan secara langsung di semua platform Sinar Harian pada malam Selasa.

Dr Mohd Izzar (tengah) bersama barisan panelis ketika dalam Wacana Sinar siri 399 yang disiarkan secara langsung di semua platform Sinar Harian pada Selasa malam.
Dr Mohd Izzar (tengah) bersama barisan panelis ketika dalam Wacana Sinar siri 399 yang disiarkan secara langsung di semua platform Sinar Harian pada Selasa malam.

Turut menjadi panel ialah Yang Dipertua Persatuan Kesihatan Malaysia (Ikram Health), Dr Mohd Afiq Mohd Nor; Pakar Ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Wency Bui Kher Thinng manakala Azlan Shah Nabees Khan bertindak sebagai moderator.

Dalam pada itu, ulas Dr Mohd Izzar, sudah menjadi trend untuk mana-mana jenama barangan termasuk syarikat rokok, menggunakan pempengaruh media sosial dalam mempromosikan produk mereka.

Menurutnya, ia kerana pempengaruh media sosial mempunyai capaian pengikut yang ramai dalam media sosial sekaligus meningkatkan pemasaran jenama sesuatu produk itu dengan lebih luas.

“Ini termasuklah produk vape dimana mereka (syarikat) selalunya menjadikan ‘influencer’ (pempengaruh media sosial) atau artis menggunakan vape sebagai gaya hidup supaya penonton-penonton terutamanya pengikut yang terdiri dari golongan muda akan terpengaruh dan anggap itu sebagai satu perkara normal.

“Bagi saya ini satu perkara yang tidak patut dan tidak sokong. Sebagai seorang ‘influencer’ atau selebriti, mereka seharusnya menjaga kandungan-kandungan yang mereka kongsikan kepada penonton mereka.

“Sebab itu dah tiba terdapat satu Rang Undang-Undang (RUU) untuk mengawal promosi dan penjualan produk-produk tembakau ini termasuk vape,” ujarnya.