Perkeso Kelantan seru individu bekerja sendiri, jangan tangguh caruman

Nora (kanan) menyerahkan sumbangan FPM dan pencen penakat Perkeso kepada Hasliza di rumahnya Kampung Nibong Lemal, Pasir Mas pada Ahad. - Foto: SINAR HARIAN/HAZELEN LIANA KAMARUDIN
Nora (kanan) menyerahkan sumbangan FPM dan pencen penakat Perkeso kepada Hasliza di rumahnya Kampung Nibong Lemal, Pasir Mas pada Ahad. - Foto: SINAR HARIAN/HAZELEN LIANA KAMARUDIN
A
A
A

PASIR MAS – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Kelantan menyeru individu bekerja sendiri di negeri ini supaya tidak menangguhkan pendaftaran caruman kerana langkah itu penting bagi menjamin perlindungan sekiranya berlaku kemalangan atau kehilangan pendapatan.

Pengarah Perkeso Kelantan, Nora Yaacob berkata, masih ramai golongan bekerja sendiri di negeri ini belum mencarum sedangkan skim yang disediakan memberi perlindungan menyeluruh kepada pencarum dan tanggungan mereka.

“Perlindungan Perkeso bukan hanya untuk pekerja sektor formal tetapi juga kepada mereka yang bekerja sendiri, termasuk peniaga kecil, penghantar makanan dan suri rumah.

"Untuk tahun ini sahaja bagi tempoh Januari hingga Oktober, Perkeso Kelantan membelanjakan lebih RM10.3 juta bagi pembayaran pelbagai faedah kepada pencarum," katanya semasa sidang akhbar pada Ahad.

Sebelum itu beliau menyampaikan bayaran Faedah Pengurus Mayat (FPM) RM3,000, pencen penakat kepada isteri arwah Salmi Awang iaitu Hasliza Hasbullah, 51, di Kampung Nibong Lemal di sini.

Allahyarham Salmi merupakan pemandu lori pembancuh simen yang maut terkena serangan jantung sehingga menyebabkan kenderaan itu hilang kawalan dan merempuh beberapa kereta serta tiang lampu di Jalan Raja Perempuan Zainab 2, Kubang Kerian, Kota Bharu pada 22 Oktober lalu.

Menurut beliau, jumlah itu melibatkan 2,062 kes yang diproses sepanjang tempoh berkenaan merangkumi bayaran di bawah Akta 4 dan Akta 789 (Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri).

Ujarnya, antara bayaran tertinggi direkodkan ialah faedah hilang upaya sementara sebanyak RM3.69 juta, diikuti hilang upaya kekal (RM2.83 juta), faedah pengurusan mayat (RM1.45 juta) serta pencen penakat (RM819,000).

"Secara keseluruhan, jumlah tanggungan Perkeso Kelantan bagi tempoh 10 bulan pertama tahun ini mencecah RM10,359,051.60, melibatkan pelbagai skim perlindungan yang disediakan untuk pencarum.

Artikel Berkaitan:

"Perkeso pada masa ini giat memperkenalkan semula produk di bawah jenama baharu ‘Lindung’ yang dilancarkan pada 22 Ogos lalu sebagai usaha memperluaskan perlindungan sosial kepada semua lapisan masyarakat termasuk individu bekerja sendiri dan suri rumah.

“Antara produk di bawah inisiatif ini ialah Lindung Kendiri, Lindung Kasih dan Lindung Suri Rumah, yang memberi tumpuan kepada kumpulan tidak berada dalam sektor pekerjaan formal,” katanya.

Beliau memberitahu, selain perlindungan sosial, Perkeso juga menyediakan perkhidmatan temuduga terbuka dan padanan pekerjaan bagi membantu mengurangkan kadar pengangguran di Kelantan.

Ringkasan AI

  • Perkeso Kelantan seru individu bekerja sendiri supaya tidak menangguhkan pendaftaran caruman
  • Perlindungan Perkeso meliputi pekerja sektor formal dan mereka yang bekerja sendiri termasuk peniaga kecil dan suri rumah
  • Perkeso Kelantan membelanjakan lebih RM10.3 juta untuk pembayaran pelbagai faedah dari Januari hingga Oktober tahun ini
  • Jumlah tanggungan Perkeso Kelantan bagi 10 bulan pertama tahun ini mencecah RM10,359,051.60
  • Perkeso memperkenalkan produk di bawah jenama baharu 'Lindung' untuk memperluaskan perlindungan sosial termasuk kepada individu bekerja sendiri dan suri rumah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!