Pasir Mas dipilih projek rintis jihad perangi dadah

KOTA BHARU - Jajahan Pasir Mas dipilih sebagai kawasan perintis bagi pelaksanaan program jihad perangi dadah menerusi kerjasama antara Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) bermula tahun ini.
Pengerusi Pemadam Kelantan, Zamakhshari Muhamad berkata, program tersebut digerakkan hasil libat urus bersama Pejabat Tanah dan Jajahan, polis, AADK serta semua penghulu di Pasir Mas.
Menurut beliau, antara fokus utama inisiatif itu adalah untuk mencari kaedah terbaik bagi membolehkan penghulu dan masyarakat menyampaikan laporan berkaitan kegiatan tidak bermoral yang berlaku di peringkat akar umbi.
"Difahamkan, ada dalam kalangan penghulu yang tidak berani melaporkan aktiviti jenayah termasuk berkaitan dadah kerana bimbang faktor keselamatan.
"Jadi pendekatan ini lebih kepada kempen kesedaran yang menekankan penglibatan aktif masyarakat selain mewujudkan saluran yang selamat untuk menyalurkan maklumat," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Exco di Kota Darulnaim di sini pada Rabu.
Menurut Zamakhshari yang juga Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat Kelantan, kejayaan program ini akan dijadikan model untuk diperluas ke jajahan lain pada masa depan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

