Zohran Mamdani menang Datuk Bandar New York, Israel seru Yahudi berhijrah

BAITULMAQDIS – Beberapa menteri kerajaan Israel mengecam kemenangan Zohran Mamdani sebagai Datuk Bandar Muslim pertama New York, sambil menggesa komuniti Yahudi di bandar itu berhijrah ke Israel, lapor Anadolu Ajansi (AA)
Mamdani, calon Demokrat, mencipta sejarah apabila memenangi pilihan raya Datuk Bandar New York pada Selasa, menjadikannya individu Muslim dan Asia Selatan pertama memegang jawatan tersebut.
“Bandar yang suatu ketika dahulu menjadi simbol kebebasan dunia kini menyerahkan kunci pentadbiran kepada penyokong Hamas,” kata Menteri Hal Ehwal Diaspora Israel, Amichai Chikli di platform sosial media X pada Rabu.
Chikli dari Parti Likud pimpinan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu, menyifatkan kemenangan Mamdani sebagai “titik perubahan kritikal” bagi New York, yang sejak akhir abad ke-19 menjadi kubu kuat komuniti Yahudi terbesar di luar Israel.
“Saya menyeru Yahudi New York untuk mempertimbangkan secara positif untuk menetap di Israel,” katanya.
Menteri Keselamatan Negara berhaluan kanan, Itamar Ben-Gvir pula menyifatkan pemilihan Mamdani sebagai “kemenangan antisemitisme mengatasi kewarasan,” sambil melabel beliau sebagai “penyokong Hamas, pembenci Israel dan anti-Yahudi tegar.”
Duta Israel ke PBB, Danny Danon turut mengecam Mamdani.
“Kenyataan provokasinya tidak akan melemahkan kami,” kata Danon di X, sambil berjanji untuk memperkukuh hubungan dengan pemimpin komuniti Yahudi di New York.
Dalam temu bual bersama radio tempatan 103 FM, Danon mendakwa kemenangan Mamdani boleh menjejaskan “rasa selamat” komuniti Yahudi kerana beliau mengetuai pasukan polis bandar raya itu.
Terdahulu, Mamdani dalam kenyataan pra-pilihan raya, berjanji akan mengarahkan Polis New York menahan Netanyahu jika beliau melawat bandar itu, sebagai menghormati waran tangkap yang dikeluarkan oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa atas jenayah perang di Genting Gaza.
Mamdani bagaimanapun konsisten mengecam antisemitisme dan menyatakan sokongannya kepada komuniti Yahudi di New York.
“Saya katakan pada setiap peluang bahawa tiada ruang untuk antisemitisme di bandar ini, atau di mana-mana sahaja di negara ini. Itu adalah keyakinan peribadi saya,” katanya dalam kempen pilihan raya.
Beliau turut berikrar akan membina sebuah pentadbiran yang “teguh bersama komuniti Yahudi New York dan tidak goyah dalam menentang penularan antisemitisme.”
Dengan lebih 50 peratus undi dalam persaingan tiga penjuru setakat 91 peratus undian dikira, Mamdani mendapat sokongan pelbagai kelompok, termasuk Yahudi yang menolak dasar kerajaan Netanyahu, khususnya sejak dua tahun perang di Genting Gaza.
Sejak Oktober 2023, Israel dilaporkan telah membunuh hampir 69,000 penduduk Gaza, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, dan mencederakan lebih 170,000 yang lain sebelum serangan dihentikan susulan perjanjian gencatan senjata yang berkuat kuasa pada 10 Oktober lalu. - Agensi
Ringkasan AI
- Beberapa menteri kerajaan Israel mengecam kemenangan Zohran Mamdani sebagai Datuk Bandar Muslim pertama New York
- Mamdani merupakan individu Muslim dan Asia Selatan pertama memegang jawatan tersebut dan dituduh sebagai penyokong Hamas
- Amichai Chikli menggesa komuniti Yahudi di New York untuk berhijrah ke Israel
- Itamar Ben-Gvir menyifatkan pemilihan Mamdani sebagai kemenangan antisemitisme
- Mamdani menjanjikan pembinaan pentadbiran yang bersama kuat dengan komuniti Yahudi dan menentang antisemitisme
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
