Projek Penyuraian Lebuhraya Bertingkat Sungai Dua-Juru dipercepatkan - PM

Anwar (tengah) mendengar taklimat mengenai pelaksanaan projek penyuraian Lebuhraya Bertingkat Sungai Dua-Juru.
Anwar (tengah) mendengar taklimat mengenai pelaksanaan projek penyuraian Lebuhraya Bertingkat Sungai Dua-Juru.
A
A
A

SEBERANG JAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa pelaksanaan Projek Penyuraian Trafik Lebuhraya Bertingkat Sungai Dua-Juru akan disegerakan bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas yang sekian lama membelenggu pengguna lebuh raya di utara Semenanjung.

Menurutnya, selain memberi keselesaan kepada rakyat, pelaksanaan projek itu juga akan menarik minat serta meningkatkan keyakinan pelabur apabila isu tersebut dapat diselesaikan.

Anwar berkata, proses penelitian dan perancangan rapi melibatkan pelbagai agensi kerajaan serta syarikat pengendali termasuk PLUS Malaysia Berhad dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) telah dijalankan, dan beliau telah mengarahkan kementerian serta agensi berkaitan untuk memantau dengan lebih dekat bagi memastikan pelaksanaan projek berkenaan dapat dipercepatkan.

“Saya ingat dah belasan tahun, tiap kali saya ke Perak, ke Pulau Pinang, ke Kedah, semuanya mengeluh tentang kesesakan penyuraian di Juru, Sungai Dua, Persimpangan Permatang Pauh dan Jambatan Pulau Pinang.

"Alhamdulillah, hari ini kita bersyukur kerana satu projek yang ditunggu-tunggu rakyat akhirnya dapat dilaksanakan selepas tertangguh sekian lama," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Projek Penyuraian Trafik antara Plaza Tol Juru ke Plaza Tol Sungai Dua di Lebuhraya Utara–Selatan (PLUS) di sini pada Sabtu.

Turut hadir, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow; Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi; dan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Dalam pada itu, Anwar turut menekankan kepentingan kerjasama antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri bagi menyelaraskan urusan teknikal serta kelulusan tempatan agar projek tidak tertangguh.

“Saya tidak mahu unjuran biasa. Kalau boleh dipercepatkan sebulan pun, itu sudah membawa penjimatan ekonomi dan memberi keselesaan kepada rakyat,” tambahnya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas mengenai kos pelaksanaan, Anwar berkata, kerajaan menanggung 60 peratus manakala syarikat pengendali menampung baki 40 peratus, sekali gus mengurangkan beban kewangan kerajaan.

“Walaupun kosnya tinggi, saya ucap terima kasih kerana sebahagian besar ditanggung bersama oleh sektor swasta.

"Jadi, ini dapat mengurangkan beban dan kita bersyukur projek penyuraian ini tidak menjadi isu politik sangat kerana ia memberi manfaat kepada rakyat,” ujarnya.

Masalah kesesakan trafik antara Plaza Tol Juru dan Plaza Tol Sungai Dua telah berlarutan sejak sekian lama akibat pertambahan jumlah kenderaan yang ketara.

Keadaan ini bukan sahaja menjejaskan kelancaran perjalanan pengguna lebuh raya, malah turut memberi kesan kepada aktiviti ekonomi setempat termasuk di kawasan Permatang Pauh, Bukit Mertajam dan Perai.

Berikutan itu, Kementerian Kerja Raya mengambil langkah berani dan strategik untuk melaksanakan Projek Penyuraian Trafik antara Plaza Tol Juru dan Plaza Tol Sungai Dua.

Projek ini melibatkan jajaran sepanjang 17.3 kilometer yang merentasi tiga daerah utama iaitu Seberang Perai Selatan, Tengah dan Utara.

Projek ini dianggarkan menelan kos sebanyak RM3 bilion yang akan dibiayai secara hibrid, iaitu 60 peratus melalui peruntukan kerajaan dan 40 peratus ditanggung oleh PLUS Malaysia Berhad.

Ia dijangka siap sepenuhnya pada pertengahan tahun 2030.

Ringkasan AI

  • Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pelaksanaan Projek Penyuraian Trafik Lebuhraya Bertingkat Sungai Dua–Juru akan disegerakan untuk mengatasi masalah kesesakan
  • Projek ini bertujuan memberi keselesaan kepada rakyat dan menarik minat pelabur dengan menyelesaikan isu kesesakan
  • Anwar telah mengarahkan kementerian dan agensi berkaitan untuk mempercepat pelaksanaan projek melalui perancangan rapi bersama pelbagai agensi dan syarikat pengendali
  • Kerjasama antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri ditekankan untuk memastikan urusan teknikal dan kelulusan tempatan diselaraskan agar projek tidak tertangguh
  • Kos pelaksanaan projek ini adalah RM3 bilion, dengan 60 peratus ditanggung oleh kerajaan dan baki 40 peratus oleh syarikat pengendali, PLUS Malaysia Berhad

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!