Rombakan Kabinet tidak dibincang dalam Mesyuarat Jemaah Menteri esok – Anwar

Anwar (kanan) bersalaman dengan tetamu pada majlis perasmian Jelajah Malaysia Digital Sabah.
-- fotoBERNAMA (2025) HAK CIPTA TERPELIHARA
Anwar (kanan) bersalaman dengan tetamu pada majlis perasmian Jelajah Malaysia Digital Sabah. -- fotoBERNAMA (2025) HAK CIPTA TERPELIHARA
A
A
A

TAWAU - Mesyuarat Khas Jemaah Menteri yang dijadualkan bersidang pada Selasa tidak akan membincangkan isu rombakan Kabinet.

Mengesahkan perkara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, mesyuarat berkenaan akan menumpukan kepada keputusan sama ada kerajaan akan mengemukakan rayuan terhadap isu tertentu.

"Fokus kami sekarang ialah memuktamadkan soal sama ada akan merayu atau tidak (keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu isu pemulangan 40 peratus hasil Sabah) dan seperti biasa, negara ini negara hukum.

"Ada proses, maka kita dengar dahulu (keputusan) Peguam Negara kemudian kita putuskan. Pendirian saya, saya telah sampaikan, jadi kita muktamadkan esok setelah berbincang dengan jemaah menteri

"Yang marah-marah, tiada maknanya sebab Kerajaan Madani lebih tegas soal MA63 (Perjanjian Malaysia 1963), lebih kukuh melaksanakannya dan lebih terjamin tentang peruntukan kepada Sabah," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Jelajah Malaysia Digital Sabah di sini pada Isnin.

Terdahulu ketika berucap dalam program sama, Anwar yang juga Menteri Kewangan memaklumkan, kerajaan akan mendengar pandangan Peguam Negara sebagai penasihat undang-undang sebelum membuat keputusan sama ada memfailkan rayuan atau sebaliknya.

"Saya sudah panggil mesyuarat esok. Kita dengar dulu penjelasan Peguam Negara, hendak rayu atau tidak, tunggu esok.

"Bagi saya, kalau tidak rayu pun tidak mengapa tetapi keputusan muktamad dibuat selepas kita dengar dan bincang bersama semua ahli Jemaah Menteri," katanya.

Anwar menjelaskan, terdapat kekangan dan keterbatasan dalam isu berkenaan, namun berharap semua pihak memahami situasi berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Soalnya mahkamah arah untuk runding. Saya kata baik, kita akan runding. Tetapi hari ini hendak runding dengan siapa? Kerana kerajaan sekarang hanyalah kerajaan sementara.

"Tunggu pilihan raya, selepas kerajaan baharu dibentuk, saya akan arahkan rundingan dimulakan segera," ujarnya.

Ringkasan AI

  • Mesyuarat Khas Jemaah Menteri pada Selasa tidak akan bincang rombakan Kabinet
  • Mesyuarat akan fokus keputusan sama ada mengemukakan rayuan isu tertentu
  • Anwar Ibrahim menyatakan negara ini negara hukum dan keputusan akan dibuat setelah mendengar Peguam Negara
  • Kerajaan Madani tegas soal MA63, kukuh melaksanakannya dan terjamin peruntukan kepada Sabah
  • Anwar menyebut ada kekangan dalam isu berkenaan dan pentingnya rundingan selepas pembentukan kerajaan baharu

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!