Mamdani 'lawan ideal' Trump

WASHINGTON– Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sekali lagi berdepan lawan politik baharu, kali ini daripada Datuk Bandar New York, Zohran Mamdani yang bakal memulakan tugasnya.
Pertembungan antara Trump dan Mamdani, seorang ahli politik muda berhaluan kiri daripada Parti Demokratik Sosialis dijangka menjadi medan penting yang bakal menentukan fasa seterusnya pentadbiran Presiden AS itu.
Trump dilihat menikmati peluang untuk menjadikan Mamdani sebagai sasaran serangan politiknya, dengan menuduh Datuk bandar New York itu sebagai 'komunis', mengejek nama pemimpin muda berketurunan Asia Selatan dan Muslim pertama yang memimpin kota terbesar Amerika itu selain mengugut untuk memotong dana Persekutuan kepada Bandar New York.
Namun Mamdani membalas dengan keyakinan tinggi, bahkan berjaya 'menyaingi gaya Trump' ketika berucap pada malam kemenangannya.
“Donald Trump, saya tahu anda sedang menonton. Jadi saya ada empat perkataan untuk anda, kuatkan volum!” katanya disambut sorakan gemuruh penyokong.
Empat kalimat Mamdani untuk Trump dapat disimpulkan bahwa lelaki itu siap 'bertempur' dengan Presiden ke-47 Amerika Syarikat itu.
Jurucakap Rumah Putih, Karoline Leavitt kemudian mengesahkan bahawa Trump sememangnya menonton ucapan tersebut ketika dalam perjalanan menaiki pesawat Air Force One.

Kelebihan
Walaupun kelihatan bermusuhan, hubungan politik kedua-dua tokoh ini turut memberi kelebihan masing-masing.
Mamdani menggunakan Trump sebagai simbol 'musuh rakyat' sepanjang kempen pilihan rayanya, menuduh Presiden itu bersikap fasis dan menyamakan beliau dengan tuan tanah kaya yang menindas rakyat New York.
Beliau menegaskan bahawa rakyat kota itu tidak akan tunduk terhadap dasar keras Trump.
“Untuk sampai kepada mana-mana daripada kami, anda perlu berdepan kami semua,” katanya.
Bagi ramai penyokong Demokrat yang terdesak mencari tokoh baharu menentang Trump, kemunculan Mamdani dilihat sebagai sinar harapan.
Namun bagi penyokong konservatif, Trump kini mempunyai 'lawan ideal' untuk dijadikan sasaran politik.
Dalam ucapannya di Miami, Trump berkata, rakyat kini berdepan 'pilihan antara komunisme dan akal sihat', sambil mengejek nama Mamdani satu taktik yang sama digunakan terhadap Kamala Harris dalam pilihan raya 2024.

Pertempuran
Di sebalik perang kata-kata itu, pertarungan sebenar menjangkau isu politik semata-mata.
Trump berulang kali mengugut untuk menyekat projek pembangunan utama di New York jika pentadbiran Mamdani meneruskan dasar berhaluan kiri.
“Saya tidak fikir banyak aktiviti akan berlaku kalau dia seorang komunis,” katanya kepada wartawan di Rumah Putih.
Beberapa penganalisis termasuk bekas penasihat strategik Trump, Steve Bannonmemberi amaran bahawa tumpuan terhadap Mamdani mungkin memberi kesan buruk kepada Presiden.
“Tanda amaran jelas kelihatan di mana-mana. Lelaki ini serius dan bukan calang-calang,” kata Bannon kepada akhbar Politico.
Walaupun begitu, kedua-duanya dilihat bersedia menurunkan suhu ketegangan.
Trump berkata beliau 'ingin melihat Mamdani berjaya' kerana cintanya terhadap New York, sementara Mamdani pula menyuarakan kesediaan untuk bekerjasama demi kepentingan rakyat.
“Saya terbuka berbincang dengan Presiden Trump tentang cara kami boleh bekerjasama untuk berkhidmat kepada rakyat New York,” katanya. -AFP
Ringkasan AI
- Trump berdepan dengan lawan politik baharu, Mamdani dari Parti Demokratik Sosialis
- Trump menuduh Mamdani sebagai 'komunis' dan mengugut untuk memotong dana Persekutuan kepada Bandar New York
- Mamdani membalas serangan Trump dengan keyakinan, berjaya 'menyaingi gaya Trump' ketika berucap
- Trump dan Mamdani bersedia menurunkan suhu ketegangan demi kepentingan rakyat
- Kejadian ini dianggap sebagai pertempuran penting yang dapat menentukan fasa seterusnya pentadbiran Trump
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

