Zohran Mamdani dijangka jadi Datuk Bandar Muslim pertama New York

STATEN ISLAND – Seorang ahli politik muda berhaluan kiri, Zohran Mamdani dijangka mencipta sejarah tersendiri apabila muncul sebagai Datuk Bandar Muslim pertama New York.
Kemenangan Mamdani yang mendahului undian dalam pilihan raya tempatan itu dilihat sebagai ujian besar terhadap penggal kedua pemerintahan Donald Trump.
Tidak hanya tertumpu kepada kebangkitan Mamdani, perlumbaan gabenor di Virginia dan New Jersey serta pungutan suara pembahagian semula kawasan di California turut menjadi penanda awal arah politik Amerika Syarikat menjelang pilihan raya pertengahan penggal tahun depan.
Di Virginia, calon Demokrat Abigail Spanberger berjaya menawan semula kediaman gabenor daripada Parti Republikan, petanda kebangkitan semula pembangkang terhadap pentadbiran Trump.
Mamdani, 34 tahun, merupakan seorang ahli politik berfahaman sosialis yang sebelum ini hampir tidak dikenali sebelum mengejutkan ramai dengan kemenangan pencalonan Demokrat.
Beliau membina pengaruh melalui gaya santai dan pendekatan mesra rakyat, sambil menumpukan isu kos sara hidup serta keadilan sosial.
Namun, Presiden Trump menimbulkan kontroversi dengan melabel Mamdani sebagai 'pembenci Yahudi' dalam hantaran media sosialnya, sambil memberi amaran kepada pengundi Yahudi agar tidak menyokong calon itu.

Menurut tinjauan terkini, Mamdani memperoleh sekitar 44 peratus sokongan, mendahului bekas Gabenor Andrew Cuomo yang bertanding sebagai calon bebas selepas tewas dalam pemilihan awal Parti Demokrat.
Calon Republikan Curtis Sliwa pula memperoleh 24 peratus.
Jumlah pengundi yang keluar mengundi dilaporkan tinggi, melebihi 1.45 juta orang menjelang penutupan pusat undi angka. Ia dilihat jauh mengatasi pilihan raya 2021 yang menyaksikan Eric Adams menang.
Adams menarik diri daripada bertanding semula susulan siasatan rasuah, selain menyatakan sokongan kepada Cuomo.
Penganalisis politik dari Universiti Syracuse, Profesor Grant Reeher menjangka, kemenangan Mamdani akan mencetuskan ketegangan politik antara pentadbiran bandar New York dan Rumah Putih.
“Kemenangan Mamdani bakal menjadi pertembungan ideologi secara terbuka dengan Trump,” katanya.
Dalam pada itu, pilihan raya di New Jersey turut menyaksikan saingan sengit antara calon Demokrat Mikie Sherrill dan calon Republikan Jack Ciattarelli, manakala pungutan suara di California mengenai pembahagian semula kawasan turut menarik perhatian nasional.
Bekas Presiden Barack Obama turut membantu kempen calon Demokrat di Virginia dan New Jersey, namun tidak membuat sebarang pengesahan sokongan rasmi terhadap Mamdani.
Ia seterusnya mencerminkan perpecahan dalam Parti Demokrat antara sayap moderat dan sayap kiri radikal. - AFP
Ringkasan AI
- Zohran Mamdani dijangka menjadi Datuk Bandar Muslim pertama New York
- Kemenangan Mamdani dalam pilihan raya dilihat sebagai ujian besar terhadap penggal kedua pemerintahan Donald Trump
- Di Virginia, calon Demokrat Abigail Spanberger berjaya menawan semula kediaman gabenor dari Parti Republikan
- Mamdani memperoleh sekitar 44 peratus sokongan, mendahului bekas Gabenor Andrew Cuomo
- Presiden Trump menimbulkan kontroversi dengan melabel Mamdani sebagai 'pembenci Yahudi' di media sosial
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

