Pesawat Air Force One dinaiki Trump berpatah balik akibat masalah elektrik

 Pesawat Air Force One yang membawa Presiden Amerika Syarikat Donald Trump ke Forum Ekonomi Dunia di Davos terpaksa berpatah balik
Pesawat Air Force One yang membawa Presiden Amerika Syarikat Donald Trump ke Forum Ekonomi Dunia di Davos terpaksa berpatah balik
A
A
A

WASHINGTON - Pesawat Air Force One yang membawa Presiden Amerika Syarikat Donald Trump ke Forum Ekonomi Dunia di Davos terpaksa berpatah balik ke Joint Base Andrews lewat malam Selasa selepas anak kapal mengesan masalah elektrik kecil sejurus berlepas menuju Switzerland.

Jurucakap White House, Karoline Leavitt, berkata isu berkenaan dikesan tidak lama selepas pesawat berlepas sekitar 9.40 malam waktu Timur AS, sebelum juruterbang mengambil keputusan kembali ke pangkalan sebagai langkah berjaga-jaga.

Menurutnya, tiada tanda kecemasan dalam kabin dan tindakan itu diambil selaras prosedur keselamatan standard.

Pesawat tersebut mendarat semula di Joint Base Andrews pada jam 11.07 malam waktu tempatan.

Wartawan yang berada dalam pesawat melaporkan lampu di kabin media terpadam seketika selepas berlepas sebelum pesawat membuat pusingan untuk berpatah balik.

Tiada kecederaan melibatkan Presiden, anak kapal atau kakitangan media.

Presiden Trump dijangka meneruskan perjalanan ke Davos menggunakan pesawat gantian yang telah disediakan, dengan kelewatan kecil terhadap jadual asal sesi libat urus serta ucapan beliau pada Rabu.

Pentadbiran White House turut menegaskan bahawa langkah berpatah balik adalah rutin dalam insiden teknikal dan bukan sesuatu yang luar biasa.

Beberapa laporan menyebut pesawat membuat pusingan di ruang udara Atlantik sebelum kembali ke pangkalan.

Artikel Berkaitan:

Air Force One, sebuah Boeing 747 yang diubah suai khas untuk kegunaan Presiden, dilengkapi pelbagai sistem sandaran serta ciri keselamatan lanjutan.

Namun, insiden teknikal kecil tetap boleh berlaku memandangkan pesawat tersebut beroperasi secara intensif.

Program penggantian Air Force One generasi baharu juga dilaporkan mengalami kelewatan sehingga pertengahan 2028.

Presiden Trump dijadual menghadiri beberapa mesyuarat penting di Davos, termasuk sesi khas berkaitan dasar ekonomi dan hubungan antarabangsa.

Perjalanan menggunakan pesawat gantian dijangka berlangsung tanpa sebarang gangguan. - Awani 

Ringkasan AI

  • Pesawat Air Force One yang membawa Presiden Amerika Syarikat Donald Trump ke Forum Ekonomi Dunia di Davos berpatah balik ke Joint Base Andrews kerana masalah elektrik
  • Masalah elektrik dikesan selepas berlepas dan pesawat mendarat semula sebagai langkah berjaga-jaga tanpa kecemasan
  • Tiada kecederaan melibatkan Presiden atau anak kapal
  • Presiden Trump meneruskan perjalanan ke Davos dengan pesawat gantian
  • Insiden ini dianggap sebagai rutin dan bukan luar biasa sesuai dengan prosedur keselamatan standard

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!