Apa yang anda perlu tahu tentang pemilihan Datuk Bandar New York

Penduduk New York mula mengundi awal pagi tadi.
Penduduk New York mula mengundi awal pagi tadi.
A
A
A

NEW YORK – Lebih sejuta penduduk New York dijangka keluar mengundi hari ini bagi memilih Datuk Bandar baharu, menandakan kemuncak kepada kempen pilihan raya yang paling sengit dalam tempoh beberapa dekad.

Pusat mengundi di lima daerah bandar raya itu dibuka seawal 6 pagi dan akan ditutup pada 9 malam (waktu tempatan). Antara calon utama ialah Zohran Mamdani, wakil parti Demokrat berhaluan kiri; Andrew Cuomo, bekas Gabenor New York yang kini bertanding sebagai calon bebas; serta Curtis Sliwa daripada Parti Republikan.

Selain jawatan Datuk Bandar, pengundi turut akan menentukan calon bagi jawatan Pengawal Bandar , Peguam Awam, ahli Majlis Bandaraya, dan beberapa Pendakwa Daerah. Enam cadangan pindaan terhadap Piagam Bandar juga disertakan dalam kertas undi.

Pertembungan tiga penjuru ini menarik perhatian nasional, dengan pemerhati politik menyifatkannya sebagai ujian besar terhadap hala tuju politik bandar raya terbesar Amerika Syarikat itu.

Kempen Mamdani, yang terkenal dengan dasar sosialis dan reformasi sosial, mencetuskan perpecahan dalam parti Demokrat.

Presiden Donald Trump turut mencampuri perdebatan dengan menyeru rakyat New York mengundi Cuomo bagi ' menolak pengaruh ekstrem kiri' di Dewan Bandaraya.

Cuomo, yang sebelum ini tewas kepada Mamdani dalam pemilihan peringkat parti pada Jun lalu, kini bergantung kepada sokongan komuniti ortodoks Yahudi serta pengundi tengah bagi memulihkan momentum menjelang hari pengundian.

Sementara itu, calon Republikan Curtis Sliwa bertegas tidak akan menarik diri walaupun ditekan oleh pihak kanan untuk menyatukan undi menentang Mamdani.

Survei terkini menunjukkan keputusan pilihan raya masih tidak menentu satu tinjauan meletakkan Cuomo hanya empat mata di belakang Mamdani, manakala satu lagi mendapati Mamdani mendahului dengan kelebihan 26 mata.

Artikel Berkaitan:

Lebih 730,000 pengundi telah menunaikan tanggungjawab mereka lebih awal dalam tempoh sembilan hari undian awal yang berakhir Sabtu lalu, hampir dua kali ganda berbanding pilihan raya peringkat parti pada Jun. Pihak berkuasa menjangkakan jumlah keseluruhan undi malam ini boleh melebihi dua juta, tertinggi sejak tahun 1969.

Keputusan awal dijangka diumumkan sebaik pusat mengundi ditutup, namun keputusan rasmi dijangka hanya dapat diketahui selepas 10 malam waktu tempatan.

Pilihan raya kali ini diadakan selepas tamat tempoh pentadbiran Datuk Bandar Eric Adams, yang menarik diri daripada percubaan mempertahankan jawatan pada September lalu.

Jika Mamdani berjaya, beliau bakal menjadi Datuk Bandar pertama berketurunan Afrika Timur dan berfahaman sosialis dalam sejarah moden New York perubahan besar kepada landskap politik 'The Big Apple'.

Ringkasan AI

  • Lebih sejuta penduduk New York mengundi untuk memilih Datuk Bandar baharu
  • Calon utama ialah Zohran Mamdani dari parti Demokrat, Andrew Cuomo sebagai calon bebas, dan Curtis Sliwa dari Parti Republikan
  • Pengundi juga menentukan calon untuk jawatan Pengawal Bandar, Peguam Awam, ahli Majlis Bandaraya, dan Pendakwa Daerah
  • Pertembungan tiga penjuru ini dipandang sebagai ujian besar terhadap arah politik New York
  • Jika Mamdani menang, beliau akan menjadi Datuk Bandar pertama berketurunan Afrika Timur dan berfahaman sosialis dalam sejarah modern New York

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!