Hak 40 peratus Sabah: Majlis Presiden GRS gesa PM, kerajaan Persekutuan tidak failkan rayuan

Hajiji (tengah) ketika mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden GRS di Sri Gaya Kota Kinabalu pada Jumaat.
Hajiji (tengah) ketika mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden GRS di Sri Gaya Kota Kinabalu pada Jumaat.
A
A
A

KOTA KINABALU - Majlis Presiden Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan Persekutuan supaya tidak memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berhubung pemberian khas 40 peratus kepada Sabah.

Menurut satu kenyataan, berdasarkan mesyuarat Majlis Presiden GRS yang diadakan di Sri Gaya pada Jumaat pihaknya mengambil maklum berhubung alasan penghakiman yang disampaikan dalam keputusan pada 17 Oktober lalu.

"Isu ini bukan sekadar perkara undang-undang, ia menyentuh soal maruah perlembagaan. Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan, bersama-sama dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), menjadi asas utama kepada persetujuan pembentukan Malaysia oleh Sabah. Keputusan mahkamah tersebut sekadar melaksanakan apa yang telah termaktub dan dipersetujui sejak dahulu lagi.

"Sehubungan itu, kami menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan Persekutuan supaya tidak memfailkan rayuan terhadap keputusan tersebut. Mahkamah tidak mengenakan sebarang penalti kewangan, sebaliknya hanya mengarahkan supaya semakan perlembagaan yang tertangguh sekian lama dilaksanakan mengikut Perkara 112C dan 112D. Merayu keputusan ini bukan bermaksud menolak hasilnya, tetapi menolak proses rundingan itu sendiri," kata kenyataan itu pada Jumaat.

Menurut kenyataan itu lagi, susulan keputusan Mahkamah Tinggi tersebut, ketua menteri telah mengarahkan Kementerian Kewangan, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Sabah dan Jabatan Peguam Besar Negeri meneliti dengan terperinci alasan penghakiman itu.

"Kerajaan negeri bersedia dan komited untuk mengadakan rundingan bermakna dengan kerajaan Persekutuan selaras dengan perintah mahkamah bagi melaksanakan semakan dan memuktamadkan persetujuan terhadap hak yang sepatutnya diterima Sabah.

"Selama ini, rakyat Sabah, dari Pitas hingga ke Pensiangan hidup dalam kekurangan bekalan elektrik, jalan yang tidak berturap dan klinik tanpa doktor. Bukan kerana kurang usaha atau kemampuan, tetapi kerana hasil yang sepatutnya menjadi hak Sabah tidak disalurkan sepenuhnya.

"Apabila lampu terpadam di bilik darjah seorang murid, apabila seorang ibu terpaksa berjalan berjam-jam untuk mendapatkan rawatan, apabila anak muda meninggalkan negeri ini kerana tiada masa depan yang mereka nampak, itu bukan sekadar angka. Itulah kesan nyata daripada ketidaksamarataan selama berdekad-dekad," katanya.

Dalam kenyataan itu, dinyatakan bahawa di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, Sabah akan terus mengekalkan hubungan kerja yang konstruktif dan penuh hormat dengan Putrajaya.

Artikel Berkaitan:

"Kami berdiri teguh menyokong penuh kepimpinan Perdana Menteri. Sebagai rakyat Malaysia, kami berbangga dengan kepimpinan beliau yang berwibawa dan telah mengangkat martabat negara di persada dunia.

"Pendekatan beliau yang berasaskan keterangkuman, keterbukaan dan keprihatinan tulen terhadap aspirasi rakyat Sabah amat kami hargai. Melalui komitmen Perdana Menteri dan pentadbirannya terhadap Sabah, kerajaan GRS telah berjaya memperoleh 13 daripada 29 tuntutan MA63 daripada kerajaan Persekutuan

"Kami sekali lagi menegaskan pendirian GRS yang tegas dan tidak berkompromi dalam memperjuangkan, bagi pihak lebih tiga juta rakyat Sabah, segala manfaat dan hak yang termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan dan MA63, sebagaimana dinyatakan dalam kenyataan bertarikh 17 Mei 2024," katanya.

Tegas kenyataan itu, kemenangan tersebut bukan sekadar tentang angka di atas kertas imbangan tetapi ia berkaitan memulihkan keyakinan rakyat terhadap keadilan kepada setiap rakyat Sabah yang telah lama diminta menunggu keperluan asas yang dinikmati rakyat di negeri lain sejak puluhan tahun lalu.

"Ia juga tentang memastikan tiada kampung yang terus bergelap, tiada sekolah tanpa kemudahan sempurna, dan tiada komuniti yang ditinggalkan hanya kerana dana yang sepatutnya disalurkan kepada Sabah tidak sampai ke tangan mereka.

"Tuntutan Sabah ini bukan satu permintaan, tetapi hak. Ia adalah tanggungjawab perlembagaan yang melangkaui sempadan kerajaan dan penggal politik. Menegakkannya membuktikan bahawa Malaysia ditadbir berdasarkan undang-undang dan keikhlasan, bukan atas dasar kemudahan atau kepentingan sementara.

"Biarlah ini menjadi detik di mana kerajaan Persekutuan bukan sahaja menunaikan janji-janji yang dibuat, tetapi juga memulihkan luka akibat pengabaian berdekad-dekad yang dirasai rakyat Sabah. Perdana Menteri akan dikenang oleh seluruh rakyat Sabah dan Malaysia sebagai seorang pemimpin yang benar-benar prihatin." katanya.

Ringkasan AI

  • Majlis Presiden Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menggesa PM Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak rayu keputusan Mahkamah Tinggi tentang pemberian khas 40% kepada Sabah
  • Keputusan mahkamah didasari Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963
  • GRS mendesak agar semakan perlembagaan yang tertangguh dilaksanakan untuk memenuhi hak Sabah
  • Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, menekankan komitmen Sabah untuk rundingan bermakna dengan kerajaan Persekutuan
  • GRS menyokong kepenuhan kepimpinan PM Datuk Seri Anwar Ibrahim dan menghargai komitmen beliau terhadap Sabah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!