'Saya tahu salah, tapi majikan yang suruh bawa' - Abang lori

Penguat kuasa JPJ menahan sebuah lori yang dikesan membawa lebih muatan.
Penguat kuasa JPJ menahan sebuah lori yang dikesan membawa lebih muatan.
A
A
A

SEREMBAN - Disuruh majikan membawa muatan berlebihan menjadi alasan kebanyakan pemandu lori untuk melepaskan diri apabila ditahan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan.

Namun alasan lapuk itu sudah lama diketahui pihak berkuasa dan akibatnya kesemua mereka dikenakan tindakan dalam operasi yang dilaksanakan di Lebuhraya Utara-Selatan(PLUS) di sini baru-baru ini.

Seorang pemandu lori lelaki berusia 55 tahun berkata, dia sudah menjangka dari awal akan ditahan pihak berkuasa, tetapi tiada pilihan kerana sudah diarahkan majikan.

"Saya dah bawa lori 21 tahun dan dalam perjalanan dari Senawang ke Banting, Selangor untuk hantar kayu potong.

"Saya tahu salah, tapi saya tak boleh buat apa kerana majikan yang arahkan," katanya kepada Sinar Harian.

Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusof berkata, alasan sedemikian tidak boleh diterima kerana setiap pemandu mempunyai tanggungjawab untuk memastikan kenderaan mereka dikendalikan dalam keadaan selamat serta mematuhi had muatan ditetapkan.

Hanif Yusabra
Hanif Yusabra

“Bagi saya setiap pemandu lori tahu tentang undang-undang ini dan alasan 'arahan majikan' tidak boleh dijadikan justifikasi untuk mereka melanggar undang-undang.

"Bukan saja pemilik kenderaan atau majikan, tapi pemandu lori itu juga boleh dikenakan tindakan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau menegaskan, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat membawa lebih muatan kerana perbuatan itu juga boleh membahayakan pengguna jalan raya lain.

Sebanyak 3,275 kenderaan perdagangan dikenakan tindakan kerana kesalahan membawa lebih muatan dalam tempoh Januari hingga September tahun ini.
Sebanyak 3,275 kenderaan perdagangan dikenakan tindakan kerana kesalahan membawa lebih muatan dalam tempoh Januari hingga September tahun ini.

Menurut Hanif, pemandu boleh dikenakan tindakan di bawah Kaedah (89) Akta Pengangkutan Jalan, manakala pemilik kenderaan atau syarikat akan dikenakan tindakan di bawah Seksyen 87(1) akta sama yang mana mereka akan dikenakan hukuman lebih berat termasuk denda serta tindakan terhadap permit operasi.

“Kita memandang serius alasan itu. Walaupun majikan memberi tekanan untuk membawa muatan berlebihan demi keuntungan atau apa saja alasan, tanggungjawab utama di jalan raya tetap terletak pada pemandu," katanya.

Selain itu katanya, dalam tempoh Januari hingga September tahun ini, sebanyak 3,275 kenderaan perdagangan yang dikenakan tindakan kerana kesalahan membawa lebih muatan.

Tambahnya, tahun ini juga sebanyak 31 kenderaan dalam proses untuk diambil tindakan dilucut hak kerana membawa lebih muatan berbanding dua kes tahun lalu.

"Data ini menunjukkan peningkatan yang ketara dan kita memandang serius perkara ini," katanya.

Hanif juga berkata, kawasan Nilai dikenal pasti sebagai lokasi panas kenderaan perdagangan membawa muatan berlebihan.

Ini kerana katanya, terdapat dua kuari utama yang aktif beroperasi di kawasan itu iaitu di Labu dan Batang Benar.

Ringkasan AI

  • Pemandu lori ditahan kerana membawa muatan berlebihan di Negeri Sembilan.
  • Alasan membawa muatan berlebihan kerana arahan majikan tidak diterima oleh JPJ.
  • Pemandu dan pemilik kenderaan boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Pengangkutan Jalan.
  • 3,275 kenderaan perdagangan dikenakan tindakan dari Januari hingga September kerana muatan berlebihan.
  • Kawasan Nilai dikenal pasti sebagai lokasi panas bagi kenderaan perdagangan membawa muatan berlebihan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!