JPJ, Imigresen gempur syarikat guna pemandu lori warga asing tanpa lesen

SHAH ALAM – Sebanyak 5,915 kesalahan melibatkan pemandu lori warga asing direkodkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sejak Januari hingga kini, membabitkan syarikat pembersihan.
Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, jumlah itu merangkumi pelbagai kesalahan termasuk memandu tanpa lesen sah, penyalahgunaan permit kerja serta kegagalan memastikan kenderaan diselenggara dengan baik.
"Daripada jumlah itu, sebanyak 2,170 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan, 1,729 notis arah periksa, 1,620 notis larangan penggunaan kenderaan, 154 notis temu siasat, 104 notis meminta butir pemandu dan 138 notis sita.
“Dalam tempoh 10 hari terakhir sahaja, sebanyak 25 lori sampah daripada syarikat sama telah disita kerana menggunakan pemandu warga asing tanpa lesen, tiada cukai jalan dan insurans,” katanya pada sidang akhbar di JPJ Padang Jawa di sini, pada Khamis.
Menurutnya, JPJ kini bekerjasama dengan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk melaksanakan tindakan bersepadu terhadap pengusaha lori yang menggaji pemandu warga asing tanpa lesen sah.
"Hukuman di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 hanya memperuntukkan denda minimum antara RM300 hingga RM1,000, yang disifatkan terlalu ringan dan tidak memberi kesan kepada pengusaha lori.
"Untuk 25 kenderaan disita, tindakan akan diambil di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) bagi tujuan pelucutan hak.
Namun syarikat yang menggaji mereka tidak dikenakan sebarang hukuman, sedangkan kebanyakan pemandu itu menyalah guna permit kerja.
"Semua 25 kes ini akan diserahkan kepada Imigresen untuk tindakan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63,” jelasnya.
Katanya, langkah itu merupakan pendekatan baharu JPJ bagi menangani kesalahan berulang dan mengelakkan risiko kemalangan jalan raya.
Tambah beliau, JPJ telah mengadakan empat sesi libat urus bersama syarikat berkenaan.
“Seperti biasa, mereka berjanji akan memastikan pemandu yang digajikan memenuhi syarat, namun pemeriksaan mendapati kesalahan sama terus berulang,” katanya.
Ringkasan AI
- JPJ mencatatkan 5,915 kesalahan pemandu lori warga asing sejak Januari hingga kini
- Kesalahan termasuk memandu tanpa lesen, penyalahgunaan permit kerja, dan kegagalan penyelenggaraan kenderaan
- Sebanyak 2,170 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan
- JPJ bersama Jabatan Imigresen Malaysia mengambil tindakan terhadap pengusaha yang menggaji pemandu tanpa lesen sah
- Hukuman melibatkan denda minimum RM300 hingga RM1,000 dianggap tidak memberi kesan kepada pengusaha
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
