Nahas pelajar UPSI: Syarikat bas didenda RM20,000 jual, sewa permit kepada entiti tak berlesen

Keadaan bas yang terbabit dalam kemalangan ngeri yang meragut 15 nyawa penuntut UPSI di KM53 JRTB dekat Gerik.
Keadaan bas yang terbabit dalam kemalangan ngeri yang meragut 15 nyawa penuntut UPSI di KM53 JRTB dekat Gerik.
A
A
A

PUTRAJAYA - Kenari Utara Travel & Tours Sdn Bhd mengaku bersalah atas dua pertuduhan iaitu menjual bas persiaran dengan nombor pendaftaran PLD 8892 dan menyewa permit kenderaan tersebut kepada Noreen Maju Trading.

Noreen Maju Trading merupakan perniagaan pengendalian pelancongan tanpa lesen di bawah Akta Industri Pelancongan 1992 [Akta 482] di mana bas dikendalikannya terlibat dalam kemalangan maut ketika membawa sekumpulan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada 9 Jun lalu.

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) berkata, Mahkamah Majistret Gerik, Perak pada Isnin lalu mensabitkan Kenari Utara Travel & Tours Sdn Bhd (806799-V) dengan dua pertuduhan itu di bawah Peraturan 6(1)(f) Peraturan-Peraturan Industri Pelancongan 1992 [P.U.(A) 333/1992].

Menurutnya, ia kerana syarikat perkhidmatan bas tersebut gagal mematuhi syarat lesen yang melarang urus niaga dengan pihak tidak berlesen seperti Noreen Maju Trading.

"Bas PLD 8892 yang dikendalikan Noreen Maju Trading terlibat dalam kemalangan maut di Gerik ketika membawa sekumpulan pelajar UPSI pulang ke kampus Tanjung Malim.

"Hakim Mahkamah Majistret Gerik, Muhammad Firdaus Nor Azlan menjatuhkan hukuman denda RM10,000 bagi setiap pertuduhan, menjadikan jumlah keseluruhan RM20,000.

"Kegagalan membayar denda boleh membawa kepada hukuman penjara sehingga lima tahun," kata Motac dalam kenyataan pada Khamis.

Pendakwaan kes itu dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Zulaikha Mahadi bersama Pegawai Pendakwa Motac, Nurul Hidayah Aman.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, 15 pelajar disahkan meninggal dunia manakala selebihnya mengalami kecederaan dan menerima rawatan di Hospital Gerik.

Artikel Berkaitan:

Nahas sekitar jam 1 pagi di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Banun, Gerik itu berlaku apabila bas terbabit melanggar bahagian belakang sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza dan hilang kawalan sebelum terbalik merempuh pembahagi jalan.

Turut cedera ialah pemandu bas berusia 40 tahun dan kelindannya, 54.

Dalam pada itu, Motac menegaskan bahawa pelanggaran Akta 482 dan peraturannya merupakan satu kesalahan jenayah yang serius.

"Kementerian komited untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang mengancam keselamatan dan integriti industri pelancongan negara," ujar kenyataan itu lagi.

Ringkasan AI

  • Kenari Utara Travel & Tours Sdn Bhd mengaku bersalah menjual bas persiaran dan menyewa permit kepada Noreen Maju Trading yang tidak berlesen
  • Noreen Maju Trading terlibat dalam kemalangan maut membawa pelajar UPSI
  • Syarikat disabitkan dua pertuduhan di bawah Peraturan Industri Pelancongan 1992 kerana urus niaga dengan pihak tidak berlesen
  • Hakim menjatuhkan hukuman denda RM10,000 bagi setiap pertuduhan, menjadikan jumlah keseluruhan RM20,000
  • Kemalangan menyebabkan 15 pelajar meninggal dunia dan kecederaan pada pelajar serta pemandu bas

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!