Rumah disaluti lumpur akibat air pasang besar

SEKINCHAN – Lima sekeluarga di Kampung Sentosa di sini berdepan detik cemas apabila fenomena air pasang besar awal pagi Khamis menyebabkan rumah mereka bukan sahaja dinaiki air laut, malah dipenuhi lumpur tebal yang dibawa arus dari pantai.
Mangsa, Mohd Azhar Pia Aie, 57, berkata, ketika kejadian kira-kira jam 5.30 pagi, dia bersama isteri, anak dan dua cucu berada di rumah apabila air mula melimpah masuk sebelum menenggelamkan hampir keseluruhan ruang kediaman.
"Air pasang besar menyebabkan ban pesisir pantai kampung ini pecah hingga berlaku limpahan air.

"Kebanyakan rumah di kampung ini dinaiki air, rumah pula penuh lumpur," katanya ketika ditemui Sinar Harian.
Mohd Azhar yang menetap sejak sembilan tahun lalu berkata, ini kali kedua kampung itu dilanda banjir, namun kejadian kali ini paling buruk kerana arus kuat turut membawa selut ke dalam rumah.
"Kali pertama dulu air tak sampai dalam rumah, cuma naik sampai laman sahaja, tapi kali ini air bukan saja tinggi, selut pun tebal sampai susah nak bersihkan," jelasnya.
Mohd Azhar menganggarkan kerugian dialaminya mencecah RM20,000 termasuk kerosakan pada peralatan elektrik dan enjin bot bernilai kira-kira RM9,000.
Katanya, pihak bomba turut mengaktifkan siren amaran dan melakukan rondaan bagi memaklumkan penduduk supaya berpindah ke lokasi selamat.
"Bomba datang jalan kaki ketuk pintu rumah ke rumah sebab kenderaan tak boleh masuk. Kami sempat keluar awal sebelum air naik tinggi,” katanya.
Menurut Mohd Azhar, fenomena air pasang besar berlaku dalam tempoh tiga hari berturut-turut dan dijangka berterusan hingga Jumaat.
"Rumah kami yang terletak hanya 100 meter dari Pantai Sentosa masih berlumpur dan berharap tidak hujan kerana bimbang bertembung dengan fenomena air pasang besar pada petang dan awal pagi esok," katanya.

Seorang lagi penduduk, Shamiza Shamsuddin, 35, berkata, kejadian berlaku ketika dia berada di rumah bersama dua anaknya masing-masing berusia tiga dan setahun.
Katanya, semasa kejadian itu, suaminya bertugas di Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sedang melakukan rondaan pemantauan air pasang di kawasan berkenaan.
"Dalam jam 4 pagi suami nampak ban mula pecah dan air terus melimpah ke jalan dan masuk ke rumah berhampiran.
"Suami kemudian pulang ke rumah dan menyuruh saya kemas barang sebab air mula tinggi," katanya.
Shamiza memberitahu, limpahan air deras menyebabkan tiga motosikal dan sebuah kereta milik keluarganya tidak sempat diselamatkan, manakala kebanyakan peralatan elektrik rosak akibat ditenggelami air.
"Air bukan sahaja masuk, tapi bawa lumpur yang pekat dan berbau, susah hendak cuci, kena basuh berulang kali," jelasnya.
Seorang lagi mangsa, Mohd Solihin Zakiyuddin, 26, berkata, ketika kejadian, dia berada di rumah tunangnya bersama keluarga wanita itu bagi membantu membuat kek dan persiapan barang hantaran perkahwinan.
"Dulang bunga semua rosak sebab air masuk cepat dan barang yang dah siap hias pun habis basah,” katanya.
Katanya, keluarga tunangnya itu kini menumpang sementara di balai raya kampung bersama beberapa keluarga lain yang turut terjejas.
Sementara itu, Ketua Zon 7 Selangor Utara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Samsol Maarif Saibani berkata, seramai 39 penduduk Kampung Sentosa Sekinchan di sini terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) selepas kawasan penempatan mereka dinaiki air susulan fenomena berkenaan.
Menurut beliau, sebanyak 15 rumah dilaporkan terjejas dalam kejadian itu membabitkan 18 lelaki, 12 wanita, seorang orang kurang upaya (OKU), dua warga emas dan enam kanak-kanak.
"Semua mereka terlibat dipindahkan ke PPS di Balai Raya Kampung Sentosa dan air laut beransur surut kira-kira jam 7 pagi dan keadaan kini dilaporkan terkawal," tambah beliau.
Ringkasan AI
- Lima sekeluarga di Kampung Sentosa Sekinchan terjejas akibat fenomena air pasang besar yang membawa lumpur tebal ke dalam rumah
- Kejadian berlaku awal pagi Khamis menyebabkan kerugian materi termasuk kerosakan peralatan elektrik dan enjin bot
- Ini merupakan kali kedua kampung itu dilanda banjir, dengan kejadian terkini dinyatakan sebagai yang paling buruk
- Pihak bomba mengaktifkan siren amaran dan melakukan rondaan untuk memaklumkan penduduk supaya berpindah
- Seramai 39 penduduk terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara berikutan fenomena itu
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

