Sambut baik keputusan kerajaan

A
A
A

SHAH ALAM - Pelbagai pihak menyambut baik langkah kerajaan untuk melanjutkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) supaya pandemik koronavirus (Covid-19) dapat dihapuskan dengan segera.

Presiden Briged Negaraku, Khairul Nizam Mohd Sopery berkata, meskipun lanjutan tempoh PKP itu berat untuk diterima terutama oleh peniaga namun ia perlu demi memastikan Covid-19 berakhir.

"Bagi saya kita semua perlu sambut baik lanjutan tempoh PKP ini. Walaupun ia berat untuk diterima oleh sesetengah orang tapi kita perlu positif dan terimalah dengan terbuka.

"Pastinya kerajaan telah mengambil kira semua sebelum buat keputusan ini. Setidaknya kerajaan telah maklumkan lebih awal supaya kita lebih bersedia dan bukannya tarikh akhir tempoh PKP pertama berakhir," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Beliau turut mencadangkan tindakan lebih tegas dapat diambil oleh pihak berkuasa terhadap individu yang masih degil dan tidak ikut arahan ditetapkan pada tempoh PKP kedua.

Katanya, sesuatu yang amat dikesali apabila masih ada yang tidak serius terhadap isu Covid-19 ini.

"Kita jadikan apa yang berlaku ini sebagai iktibar dan patuhlah pada arahan kerajaan agar apa yang kita sedang alami sekarang dapat ditamatkan segera," katanya.

Dalam pada itu, Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Sembilan, Nicole Tan berkata, semua rakyat harus mematuhi semua arahan PKP ini supaya dapat bersama-sama mengharungi cabaran memerangi Covid-19.

Artikel Berkaitan:

"Saya secara peribadi terpaksa tukar amalan gaya hidup saya. Sekarang saya bersenam di rumah dan tidak dapat meneruskan usaha 10,000 langkah setiap hari di luar. Mula-mula rasa tidak biasa tapi lama kelamaan saya dapat menyesuaikan diri.

"Sebelum ini, saya tidak ada masa untuk makan malam di rumah, sekarang setiap malam saya dapat menikmati masakan enak yang dihidangkan oleh ibu mentua saya," katanya.

Bagi Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim pula, umat Islam perlu terus mendoakan barisan hadapan dalam menangani penularan Covid-19.

Menurutnya, pada masa yang sama semua pihak perlu bekerjasama dan akur dengan arahan kerajaan kerana hukumnya wajib dalam situasi seperti ini.

"Saya rasa dukacita kerana masih ada orang Islam yang berkeras untuk berjemaah di masjid. Ini bukan sahaja membawa contoh yang tidak baik kepada masyarakat bukan Islam bahkan telah melanggar perintah al-Quran untuk taat kepada pemerintah dalam perkara yang tidak melanggar syarak.

"Saya juga memohon orang ramai tidak terpengaruh dengan 'fatwa-fatwa' orang perseorangan dan badan-badan yang tiada autoriti," katanya.

Zamri berkata, pada ketika ini, semua pihak perlu bersatu padu merentas segala halangan-halangan parti politik demi kesejahteraan negara dan elak tuduh-menuduh serta mempolitikkan usaha mengatasi wabak ini.

Selain itu, Pengerusi Hal Ehwal Usahawan PAUiTM, Ahmad Muzakkir Hamid berkata, pihaknya mendoakan agar virus Covid-19 tiada lagi di bumi tercinta kita ini Malaysia dalam masa terdekat ini.

Namun, katanya, di sebalik penangguhan itu ia sama sekali memberi kesan besar kepada peniaga-peniaga termasuk usahawan kecil, ia menjurus kepada gulung tikar jika bantuan-bantuan yang diumumkan itu tidak sampai kepada golongan sasar.

"Peniaga kecil tiada simpanan di KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja), jika ada, sebahagiannya telah mengeluarkan untuk pembelian rumah di dalam akaun 2, semoga kerajaan mempertimbangkan untuk membolehkan mereka menggunakan akaun satu.

"Selain itu, bantuan kerajaan dalam apa jua bentuk yang diumumkan perlu disegerakan kepada peniaga kecil ini, perlaksanaan dan dokumentasi mestilah dimudahkan," katanya.

Menurutnya, dalam penangguhan bayaran yang diumumkan oleh bank negara BNM selama enam bulan, PAUiTM juga diharap semua bank-bank tidak terkecuali kepada peniaga kecil ini walaupun rekod pembayaran mereka sebelum ini buruk.

Pengerusi Pertubuhan Anak Jati Kelantan, Datuk Muhammad Amiin Ridhuwan Ab Aziz berkata, demi menyelamatkan rakyat Malaysia dari rantaian virus Covid-19 dan menjejaskan nyawa lebih ramai lagi di luar sana maka ia harus diterima dengan hati yang reda.

"Melihatkan peningkatan kematian setiap hari, rakyat Malaysia haruslah mengambil iktibar di atas nasihat dan rayuan yang telah disampaikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk duduk di rumah.

"Dalam keadaan sekarang bukan sahaja negara kita melalui fasa yang sangat sukar malah negara lain turut sama terpalit dengan kemerosotan kesihatan dan kejatuhan ekonomi yang sangat membimbangkan," katanya.

Beliau percaya Pakej Rangsangan Ekonomi dan Bantuan Rakyat yang diumumkan oleh kerajaan akan memberi sedikit kelegaan kepada rakyat.

Menurutnya, inisiatif ini adalah satu tindakan wajar dan cepat yang diambil oleh kerajaan dalam misi membantu rakyat yang memerlukan sewaktu berlangsungnya PKP.

Katanya, memang diakui, rakyat berada dalam keadaan panik dan tertekan ketika ini di mana situasi pandemik ini telah menyekat pergerakan individu untuk pergi bekerja dan mencari sumber pendapatan tatkala penyambungan masa PKP yang diumumkan.

Pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan, Rafiei Mustapha pula berkata lanjutan PKP adalah satu tindakan wajar dan terbaik dalam usaha mengekang penularan wabak Covid-19.

"Pelanjutan ini juga akan memberi ruang dan masa yang secukupnya untuk membolehkan pihak KKM merawat mangsa yang berada di hospital seluruh negara, dengan harapan langkah tersebut boleh mengekang pertambahan drastik mangsa yang dijangkiti," katanya.