Cuepacs sambut baik imbuhan tetap bakal diumumkan PM

Laporan Sinar Harian pada Ahad. Gambar kecil: Adnan Mat
Laporan Sinar Harian pada Ahad. Gambar kecil: Adnan Mat
A
A
A

PUTRAJAYA - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyambut baik hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengumumkan beberapa imbuhan tetap kepada penjawat awam.

Presiden Cuepacs, Datuk Adnan Mat berkata, hasrat itu membuktikan Anwar sentiasa melaksanakan apa yang diperkatakan.

"Setelah sekian lama penjawat awam dijanjikan dengan pelarasan semula skim gaji mereka, akhirnya ia menjadi kenyataan tidak lama lagi," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Anwar menerusi Program Cakna Madani Bersama Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Kementerian Pendidikan di Kubang Kerian, Kelantan pada Ahad memaklumkan beliau akan membuat pengumuman berkenaan hal tersebut dalam tempoh seminggu dua lagi.

Mesyuarat pengurusan pertama pelarasan skim gaji itu akan diadakan pada minggu ini.

Dalam pada itu, Adnan berkata, pihaknya telah bertemu dengan Anwar pada 18 Julai lalu untuk memberi pandangan dalam soal penyelarasan semula elaun-elaun tetap yang diterima penjawat awam ketika ini.

"Antara perkara yang dicadang adalah meningkatkan elaun Imbuhan Tetap Khidmat Awam (ITKA) sebanyak RM100.

"Ketika ini elaun ITKA paling rendah diterima oleh penjawat awam ialah RM95 dan kenaikan tersebut akan menjadikan elaun tersebut diselaraskan bermula RM195," katanya sambil menambah kadar semasa adalah dilaksana sejak lebih 16 tahun yang lalu.

Selain itu, elaun Bantuan Sara Hidup (COLA) dicadangkan dibayar penuh kepada penjawat awam yang menduduki kuaters kerajaan memandangkan elaun Imbuhan Tetap Perumahan telah dipotong.

"Cuepacs memberi jaminan kesungguhan Anwar pasti akan diterjemahkan dengan kualiti perkhidmatan yang terbaik oleh warga perkhidmatan awam.

Penjawat awam akan menjadi pemudah cara terbaik dalam pemulihan ekonomi negara selaras dengan usaha untuk memulihkan semula ekonomi negara," katanya.