[VIDEO] 'Ayah... Ruqyah dah jadi doktor'
PASIR PUTEH - "Ayah... Ruqyah dah jadi doktor, macam yang ayah impikan."
Demikian luahan Dr Siti Ruqyah Adnan, 24, sambil menggenggam erat ijazah yang baru diterima di sisi pusara ayahnya, Adnan Yasin, 76, di Tanah Perkuburan Islam Sri Aman di sini.

Anak bongsu daripada 10 beradik itu baru sahaja menamatkan pengajian Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan (MBBS) di Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS), Kedah.
Namun, kejayaan yang dinanti bertahun-tahun bertukar menjadi hari paling memilukan dalam hidup Dr Siti Ruqyah apabila tiga jam sebelum melangkah ke pentas konvokesyen pada Ahad lalu, dia menerima panggilan dari kampung memaklumkan ayahnya meninggal dunia secara mengejut di rumah keluarga mereka di Kampung Sri Aman di sini.
Menurutnya, sebaik sahaja menerima perkhabaran tersebut dia terus berlari masuk ke dalam kereta dan menangis teresak-esak sebelum didatangi rakan-rakan yang cuba menenangkannya.

Ujar Dr Siti Ruqyah sepatutnya kakak dan abang datang mewakili keluarga, tapi bila mendapat tahu ayah sudah tiada, mereka terus berpatah balik ke Kelantan.
"Malam sebelumnya ayah sihat dan tiada tanda-tanda sakit serta menghantar saya menaiki bas. Pagi Ahad itu, masa hendak solat Subuh, ayah dikatakan berhenti beberapa kali sebab sakit dada dan termuntah.
"Ayah meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke hospital,” katanya sambil menahan sebak.
Dia memberitahu, arwah yang merupakan pesara guru sebelum ini teruja menantikan konvokesyennya itu tetapi hasrat ayahnya untuk hadir terpaksa dibatalkan kerana mahu menjaga ibu, Nik Norizan Wan Deraman, 69, yang sudah enam tahun terlantar akibat serangan strok.
Kata dia, betapa arwah menunggu saat itu kerana impian ayah hendak melihat salah seorang daripada anaknya menjadi doktor.
"Alhamdulillah saya berjaya menyempurnakan impian ayah. Abang dan kakak adalah jurutera, guru, dan pegawai bank," katanya.
Usai majlis, Dr Siti Ruqyah bergegas pulang ke Kelantan bagaimanapun sebaik tiba, jenazah ayahnya sudah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sri Aman sekitar jam 5 petang.
Dia tidak sempat memeluk cium ayahnya buat kali terakhir tetapi berjaya membawa pulang ijazah walaupun hanya mampu ditunjukkan di hadapan pusara arwah.
"Impian ayah sudah saya tunaikan. Saya akan teruskan perjuangan ini, untuk ayah dan mak," katanya.
Ringkasan AI
- Dr Siti Ruqyah Adnan berjaya menjadi doktor seperti impian ayahnya
- Ayahnya, Adnan Yasin, meninggal dunia tiga jam sebelum konvokesyen Dr Siti Ruqyah
- Dr Siti Ruqyah merupakan anak bongsu daripada 10 beradik
- Ayahnya meninggal kerana sakit dada pada perjalanan ke hospital
- Dr Siti Ruqyah tidak sempat berjumpa ayahnya untuk kali terakhir tetapi membawa pulang ijazah sebagai simbolik pencapaian kepada arwah ayah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

