Ringgit dijangka diniagakan tinggi sedikit berbanding dolar AS minggu depan

Ringgit dijangka diniagakan tinggi sedikit berbanding dolar AS pada minggu depan ketika para pelabur menilai prospek kadar faedah Amerika Syarikat (AS). Foto hiasan
Ringgit dijangka diniagakan tinggi sedikit berbanding dolar AS pada minggu depan ketika para pelabur menilai prospek kadar faedah Amerika Syarikat (AS). Foto hiasan
A
A
A

RINGGIT dijangka diniagakan tinggi sedikit berbanding dolar AS pada minggu depan ketika para pelabur menilai prospek kadar faedah Amerika Syarikat (AS).

Ketua ahli ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, tumpuan utama pelabur terarah kepada data Indeks Harga Pengguna dan Indeks Harga Pengeluar AS bagi bulan Oktober, yang dijadualkan diumumkan masing-masing pada Selasa dan Jumaat.

"Bacaan inflasi yang lebih rendah boleh memberi tekanan ke atas hasil Perbendaharaan AS dan dolar AS, sekali gus memberikan sokongan kepada ringgit. Bagaimanapun, inflasi yang lebih tinggi daripada jangkaan boleh menjejaskan peningkatan tersebut,” katanya kepada Bernama.

Di dalam negara Mohd Afzanizam berkata, angka pengeluaran perindustrian, pasaran buruh, serta perdagangan borong dan runcit Malaysia akan memberikan petunjuk seterusnya mengenai daya tahan ekonomi.

Beliau berkata, keputusan Bank Negara Malaysia untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada paras 2.75 peratus menyediakan dasar yang konsisten dan stabil.

"Bagaimanapun, aktiviti dagangan dijangka kekal berhati-hati sementara pelabur menunggu laporan pekerjaan AS yang akan dikeluarkan malam ini selain perkembangan dasar AS pasca pilihan raya pertengahan penggal serta risiko geopolitik.

"Oleh itu, ringgit dijangka diniagakan dalam jajaran RM4.04-RM4.06 berbanding dolar AS minggu depan,” katanya.

Sementara itu, rakan pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata, ringgit berpotensi kembali mengukuh ke paras yang lebih tinggi sekiranya aktiviti penjualan dalam pasaran ekuiti meningkat yang mendorong para peniaga mengambil kira Rizab Persekutuan AS (Fed AS) berkemungkinan tidak akan menaikkan kadar.

"Bagaimanapun, hala tuju seterusnya akan sekali lagi bergantung kepada pasaran minyak mentah dan ekuiti, berbanding faktor asas domestik. Jika harga minyak mentah kekal tinggi dan pasaran ekuiti global terus berdepan dengan tekanan jualan terutamanya dalam sektor semikonduktor, ringgit mungkin sukar untuk mencatatkan peningkatan seterusnya.

Artikel Berkaitan:

"Buat masa ini, para pelabur akan memantau Wall Street dan pasaran minyak bagi mendapatkan hala tuju yang lebih jelas. Selagi keadaan kedua-dua pasaran tersebut belum stabil, mata wang Asia, termasuk ringgit, berkemungkinan akan terus berada dalam tekanan,” katanya.

Innes menjangkakan ringgit diniagakan dalam jajaran kecil antara RM4.045 hingga RM4.065 berbanding dolar AS.

Bagi tempoh Jumaat ke Jumaat, ringgit menyusut berbanding dolar AS kepada 4.0565/0610 daripada paras 4.0555/0600 pada minggu sebelumnya.

Sepanjang minggu yang baru berakhir ini ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Unit tempatan meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.5616/5646 daripada 2.5782/5812 pada Jumaat minggu sebelumnya, naik berbanding pound Britain kepada 5.4304/4365 daripada 5.4461/4522, dan menokok berbanding euro kepada 4.5315/5365 daripada 4.5413/5464.

Sementara itu ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang negara-negara ASEAN lain.

Unit tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1657/1694 daripada 3.1753/1791 pada seminggu sebelumnya.

Bagaimanapun, ringgit menyusut sedikit berbanding rupiah Indonesia kepada 224.2/224.6 daripada 223.4/223.8, turun berbanding baht Thailand kepada 12.0898/1105 daripada 12.0373/0561 dan susut berbanding peso Filipina kepada 6.43/6.44 daripada 6.36/6.37. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!