Kelantan bentang belanjawan RM1.43 bilion, fokus sejahtera rakyat dan ekonomi berkat

KOTA BHARU – Kerajaan Kelantan memperuntukkan sebanyak RM1.43 bilion dalam Belanjawan 2026 yang dibentangkan oleh Menteri Besar, Datuk Mohd Nassuruddin Daud pada Persidangan Kali Ketiga Bagi Tempoh Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan (Belanjawan) di Kota Darulnaim di sini pada Khamis.
Belanjawan bertemakan “Kelantan Sejahtera: Prihatin Rakyat, Ekonomi Berkat, Negeri Rahmat” memberi tumpuan kepada empat teras utama iaitu pembelaan dan pemberdayaan rakyat, keterjaminan makanan dan kemampanan ekonomi, kesejahteraan rakyat dan kelestarian negeri, serta pembangunan Islam, pendidikan dan modal insan.
Mohd Nassuruddin berkata, belanjawan yang berteraskan penghayatan Membangun Bersama Islam (MIB) itu bukan sekadar himpunan angka, sebaliknya satu pelan menyeluruh bagi memperkukuh daya tahan ekonomi negeri serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.
“Kita mahu Kelantan terus makmur dan berkat. Tema ini menggambarkan keseimbangan antara pembangunan ekonomi dan kesejahteraan sosial berpaksikan rahmat ALLAH SWT,” katanya.
Menurut beliau, kerajaan negeri menjangkakan sebanyak RM1.02 bilion hasil akan diperoleh pada 2026 dengan peningkatan sebanyak 1.93 peratus berbanding RM997.26 juta pada tahun sebelumnya.
Ujarnya, daripada jumlah itu, hasil cukai diunjurkan sebanyak RM260.8 juta, hasil bukan cukai RM332.99 juta, manakala terimaan bukan hasil berjumlah RM422.71 juta.
Mohd Nassuruddin memberitahu, peningkatan hasil cukai disumbangkan oleh kutipan cukai tanah, bayaran permit perhutanan dan cukai hasil hutan yang lain.
Beliau turut memaklumkan, perbelanjaan mengurus negeri dianggarkan berjumlah RM1.1 bilion, manakala perbelanjaan pembangunan sebanyak RM327.61 juta yang memberi tumpuan kepada projek berimpak tinggi.
“Melalui pelarasan semula pinjaman kerajaan negeri, defisit berjaya dikurangkan kepada RM86.2 juta berbanding RM93.02 juta pada tahun 2025,” katanya.
Menurut beliau, kerajaan negeri memperuntukkan RM67.27 juta bagi program pembelaan dan pemberdayaan rakyat termasuk bantuan rumah dhuafa, Skim Al-Musa’adah, Skim Al-It’am serta program pertanian bandar (Dapur Hijau).
Selain itu ujarnya, RM8.95 juta diperuntukkan bagi pelbagai skim rangsangan ekonomi seperti Skim Mikro Usahawan, Program Usahawan Berdikari dan platform digital Marketplace Negeri.
"Bagi memperkukuh keterjaminan makanan dan kemampanan ekonomi, sebanyak RM81.77 juta disediakan termasuk bantuan kepada pesawah, penternak dan pekebun kecil serta pembangunan Zon Industri Akuakultur (ZIA) dan projek ternakan lembu Naimbif.
"Empat projek strategik utama iaitu Madinah Al-Salam, Madinah Al-Riadhah, Madinah Ramadan dan KB Sentral akan menjadi nadi kepada pembangunan bandar Islam moden yang membuka peluang pekerjaan dan merancakkan ekonomi rakyat.
“Kelantan juga terus menjadi destinasi pelaburan diyakini dengan nilai pelaburan perkilangan mencecah RM1.7 bilion pada tahun 2024,” ujarnya.
Kata beliau, sebanyak RM181.71 juta telah diperuntukan bagi pembangunan Islam, pendidikan dan modal insan yang menjadi teras keempat yang menjadi tunjang utama belanjawan 2026.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

