21,026 pelajar SPM di Pahang terima bantuan sekolah bernilai RM1.05 juta

KUANTAN - Kerajaan Negeri Pahang meluluskan penambahan kategori bagi Program Tunas Makmur 2025 kepada 21,026 pelajar yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di negeri ini.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sumbangan berupa set barangan sekolah itu melibatkan implikasi kewangan RM1.05 juta.
Menurutnya, sumbangan tersebut akan mula diserahkan mulai minggu hadapan oleh Majlis Tindakan Sosial Negeri Pahang (MTSP) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP).
"Proses penyerahannya turut dibantu jabatan dan agensi berkaitan bagi memastikan agihan berjalan lancar serta sampai kepada semua penerima yang layak di seluruh Pahang," katanya melalui kenyataan pada Jumaat.
Wan Rosdy berkata, selain sumbangan itu, semua pelajar SPM juga telah menerima kad diskaun pelajar yang memberi potongan sehingga 30 peratus di sebuah kedai buku di sini selain buku rujukan dan latihan percuma.
"Bantuan ini bagi membantu pelajar membuat persediaan menghadapi peperiksaan.
"Bantuan peralatan persekolahan juga dihulurkan kepada pelajar tingkatan lima dari keluarga golongan miskin tegar," ujarnya.
Jelas beliau, semua inisiatif itu mencerminkan keprihatinan dan komitmen berterusan kerajaan negeri terhadap pembangunan ilmu pengetahuan serta kejayaan akademik anak-anak Pahang.
"Saya yakin, dengan usaha berterusan dan kerjasama semua pihak, khususnya dalam memperkukuh aspek pendidikan, Pahang akan terus melangkah maju sebagai sebuah negeri yang makmur dan berilmu," katanya.
Ringkasan AI
- Kerajaan Negeri Pahang meluluskan penambahan kategori Program Tunas Makmur 2025 untuk 21,026 pelajar SPM
- Sumbangan berupa set barangan sekolah melibatkan implikasi kewangan RM1.05 juta
- Sumbangan akan diserahkan mulai minggu hadapan oleh MTSP dengan kerjasama JPNP
- Pelajar SPM menerima kad diskaun pelajar dengan potongan sehingga 30 peratus di kedai buku dan buku rujukan percuma
- Inisiatif ini mencerminkan keprihatinan kerajaan negeri terhadap pembangunan ilmu dan kejayaan akademik anak-anak Pahang
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

