Kenyataan Zahid buka ruang baharu martabat TVET - FeMAC

SHAH ALAM - Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) perlu diangkat sebagai laluan strategik dalam membina generasi pemimpin masa depan negara, selaras dengan perubahan landskap ekonomi global berasaskan kemahiran.
Pengerusi Persekutuan Pusat Bertauliah (FeMAC), Ts Dr Ravi Ramasamy berpandangan, kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengenai potensi lepasan TVET menjadi pemimpin negara termasuk Perdana Menteri, wajar dilihat dalam konteks memperkukuh kepercayaan awam terhadap sistem pendidikan teknikal negara.
Menurutnya, keupayaan graduan TVET bukan sahaja bergantung kepada kemahiran teknikal semata-mata, tetapi turut dipacu oleh nilai kepimpinan, inovasi dan daya tahan yang menjadi asas pembentukan modal insan berdaya saing.
“Apabila Timbalan Perdana Menteri menyebut kemungkinan lepasan TVET menjadi pemimpin tertinggi negara, mesej sebenar yang ingin disampaikan ialah keperluan menilai semula paradigma pendidikan. Ia bukan lagi soal akademik atau teknikal, tetapi tentang keupayaan membina pemimpin berkemahiran tinggi yang memahami realiti industri dan masyarakat,” jelasnya ketika ditemui pemberita pada Rabu.

Persekutuan itu yang mewakili lebih 350 pusat latihan kemahiran swasta di seluruh negara turut menegaskan, agenda pengarusperdanaan TVET perlu disokong dengan ekosistem latihan yang lebih mantap, termasuk standard pensijilan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Jelasnya, FeMAC memberi tumpuan kepada tiga keutamaan iaitu pembangunan tenaga pengajar, peningkatan fasiliti latihan dan perluasan kolaborasi industri bagi memastikan pelajar TVET mendapat latihan yang setara dengan keperluan ekonomi masa depan.
“Kami melihat TVET bukan sekadar penyediaan tenaga kerja, tetapi medan membentuk kepimpinan teknokratik iaitu individu yang memahami teknologi, produktiviti dan tanggungjawab sosial,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, FeMAC turut menyokong cadangan penubuhan Suruhanjaya TVET Negara seperti diumumkan kerajaan bagi menyelaras ekosistem TVET dengan lebih efisien dan inklusif, selain menilai keperluan pelan jangka panjang pembangunan kemahiran nasional.
Menurutnya, kecekapan dunia sebenar kini menjadi mata wang baharu dalam ekonomi digital dan hijau, sekali gus meletakkan graduan TVET sebagai antara kumpulan paling penting dalam transformasi tenaga kerja negara.
“Graduan TVET yang berdaya pimpin dan berinovasi berpotensi menjadi peneraju sektor industri baharu, bukan hanya sebagai pelaksana tetapi juga sebagai pembuat dasar,” tambahnya.
Terdahulu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara menegaskan dalam ucapannya pada Festival of Ideas 2025 di Putrajaya pada Selasa bahawa sudah tiba masanya masyarakat mengubah persepsi terhadap TVET dan melihatnya sebagai laluan utama pembangunan bakat dan kepimpinan negara.
Ringkasan AI
- Pendidikan TVET dilihat sebagai laluan strategik untuk membina generasi pemimpin masa depan
- Graduan TVET bukan hanya bergantung kepada kemahiran teknikal tetapi juga nilai kepimpinan, inovasi dan daya tahan
- Persekutuan Pusat Bertauliah (FeMAC) mewakili lebih 350 pusat latihan kemahiran swasta menekankan pembangunan tenaga pengajar, peningkatan fasiliti latihan dan kolaborasi industri
- Cadangan penubuhan Suruhanjaya TVET Negara untuk menyelaras ekosistem TVET lebih efisien dan inklusif
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

