ASEAN pasca 2025: Masa depan integrasi ekonomi serantau

SIDANG Kemuncak ASEAN 2025 yang berlangsung di Kuala Lumpur baru-baru ini bukan sekadar sekadar mencatat sejarah baru tetapi juga membuka lembaran bagi hala tuju ekonomi serantau.
Agenda pasca 2025 yang kini menjadi tumpuan utama negara-negara ASEAN juga turut menarik perhatian negara-negara gergasi ekonomi dunia. Persoalannya ialah bagaimana ASEAN akan menyesuaikan diri dengan perubahan geopolitik, teknologi dan pasaran global dalam dekad mendatang.
Selepas lebih enam dekad penubuhannya, ASEAN kini berada di persimpangan penting. Jika sebelum ini penekanan tertumpu kepada kestabilan politik dan keamanan serantau, kini fokus telah beralih kepada daya tahan ekonomi (economic resilience) dan integrasi digital sebagai nadi kemajuan bersama.
Integrasi Ekonomi: Dari Kerjasama kepada Penyepaduan Sebenar Selama ini, ASEAN telah membina asas kukuh melalui Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC). Namun, kemajuan integrasi sebenar masih terbatas oleh pelbagai halangan bukan tarif, birokrasi, dan perbezaan keutamaan dasar antara negara anggota.
Pasca 2025, cabaran ASEAN bukan lagi sekadar membuka pasaran, tetapi membina penyepaduan ekonomi menyeluruh yang mampu bersaing dengan blok serantau lain seperti Kesatuan Eropah (EU) atau Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).
Dalam konteks ini, Malaysia menyeru kepada pembentukan Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (ASEAN Digital Economy Framework Agreement - DEFA) yang dijangka menjadi pemangkin baharu kepada pertumbuhan ekonomi serantau.
Melalui integrasi digital, ASEAN bukan sahaja memudahkan urus niaga rentas sempadan, tetapi turut memperkukuh kedudukan usahawan tempatan dan perusahaan kecil sederhana (PKS) di arena global.
Daya Saing Baharu dalam Ekonomi Hijau dan Inovasi Transformasi hijau menjadi pelengkap kepada integrasi ekonomi serantau. ASEAN kini dilihat sebagai antara rantau utama yang berpotensi besar dalam ekonomi hijau, termasuk pelaburan tenaga boleh diperbaharui, mobiliti pintar dan pengurusan sisa lestari.
Malaysia sebagai peneraju pengerusi tahun ini memperkenalkan inisiatif ASEAN Green Transition Framework, yang menekankan keperluan penyelarasan dasar tenaga, pelaburan lestari dan pemindahan teknologi antara negara anggota. Inilah bentuk integrasi baharu, bukan sekadar perdagangan, tetapi perkongsian nilai dan tanggungjawab bersama terhadap masa depan alam sekitar.
Selain itu, aspek inovasi dan pendidikan serantau juga perlu diperkukuh. ASEAN harus melangkaui sekadar pasaran pengguna, sebaliknya menjadi pengeluar teknologi dan idea baharu, khususnya dalam kecerdasan buatan (AI), keselamatan siber dan automasi industri.
Menangani ketidakseimbangan ekonomi serantau
Salah satu cabaran terbesar integrasi pasca 2025 ialah jurang pembangunan antara negara anggota. Walaupun Singapura, Malaysia dan Thailand bergerak pantas dalam ekonomi digital dan teknologi hijau, negara-negara seperti Myanmar, Laos dan Kemboja masih bergelut dengan isu asas seperti infrastruktur dan kestabilan politik.
Untuk memastikan integrasi tidak meninggalkan mana-mana pihak, ASEAN perlu memperkukuh mekanisme sokongan pembangunan — termasuk Dana Integrasi ASEAN (AIF) — agar negara-negara kurang maju turut mendapat manfaat daripada penyertaan serantau. Integrasi yang adil dan inklusif inilah yang akan memastikan perpaduan ASEAN kekal kukuh.
Penutup: ASEAN sebagai kuasa ekonomi dunia baharu
Pasca 2025, ASEAN tidak boleh lagi berpuas hati sebagai “rantau stabil” semata-mata. Rantau ini harus berani membina visi dan melangkah sebagai kuasa ekonomi ketiga terbesar dunia menjelang 2035, dengan integrasi ekonomi yang benar-benar berfungsi, bukan sekadar retorik diplomatik.
Malaysia telah memainkan peranan penting sebagai pemacu agenda keterangkuman dan kemampanan sepanjang tahun kepengerusian 2025. Tanggungjawab kini ialah memastikan momentum tersebut tidak terhenti, sebaliknya diteruskan oleh seluruh negara anggota dengan visi serantau yang lebih mantap dan bersatu.
Jika ASEAN mampu menyatukan kekuatan ekonomi, teknologi dan sumber manusianya dengan lebih strategik, maka integrasi ekonomi pasca 2025 bukan sekadar impian, ia akan menjadi realiti yang membentuk masa depan Asia Tenggara sebagai pusat pertumbuhan dunia.
* Prof Dr Mohd Abdullah Jusoh dari Jabatan Pengurusan Logistik dan Pentadbiran Perniagaan, Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan,Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
