Tiada pegawai pemerhati ATM bertugas di Sudan - Mohamed Khaled

KUALA LUMPUR - Kementerian Pertahanan mengesahkan tiada pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang kini bertugas di Sudan di bawah misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kementerian mengambil maklum mengenai situasi terkini di El Fasher yang menyaksikan pertempuran antara tentera Sudan dan Pasukan Sokongan Pantas (RSF).
"Dua pegawai pemerhati ATM yang sebelum ini berkhidmat di bawah misi United Nations Interim Security Force for Abyei (UNISFA) telah menamatkan tempoh perkhidmatan masing-masing pada September dan November lalu.
“Kedua-dua pegawai tersebut telah menamatkan misi setahun mereka sebagai pegawai pemerhati PBB dan kini telah selamat kembali ke tanah air serta melapor untuk tugasan baharu,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau menjelaskan, penempatan pegawai pemerhati ATM sebelum ini adalah di Abyei (kawasan sempadan antara Sudan dan Sudan Selatan) yang terletak kira-kira 815 kilometer dari lokasi konflik semasa di El Fasher.
"Malaysia kekal komited menyokong usaha keamanan global menerusi penugasan pegawai pemerhati ATM di bawah panji PBB apabila keadaan mengizinkan.
“Pihak PBB diyakini akan terus menilai tahap keselamatan di Sudan bagi memastikan setiap penugasan dilaksanakan dalam keadaan stabil dan selamat, demi menyokong aspirasi keamanan serta kestabilan serantau,” katanya.
Ringkasan AI
- Kementerian Pertahanan mengesahkan tiada pegawai ATM bertugas di Sudan di bawah misi PBB
- Dua pegawai pemerhati ATM telah menamatkan tempoh perkhidmatan di bawah UNISFA pada September dan November lalu
- Kedua-dua pegawai tersebut telah selamat kembali ke tanah air dan melapor untuk tugasan baharu
- Penempatan pegawai pemerhati ATM sebelum ini adalah di Abyei, kira-kira 815 kilometer dari El Fasher
- Malaysia kekal komited menyokong usaha keamanan global menerusi penugasan pegawai pemerhati di bawah panji PBB
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
