Polis tahan lelaki mengamuk ketika diminta balik rumah

A
A
A

BAGAN SERAI - Seorang lelaki ditahan selepas dengan sengaja mengeluarkan kata-kata kesat terhadap anggota polis yang menjalankan tugas pemantauan pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) wabak koronavirus (Covid-19) di hadapan sebuah bank di pekan Bagan Serai semalam.

Dalam kejadian sekitar jam 8.30 malam itu, lelaki berusia 38 tahun berkenaan bertindak memaki hamun anggota yang mengarahkannya pulang ke rumah.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, suspek sebelum itu dilihat berada di kawasan berkenaan seorang diri dalam keadaan mabuk dan mencurigakan.

"Anggota yang membuat rondaan menghampiri lelaki itu dan beberapa kali meminta segera pulang ke rumah namun secara tiba-tiba suspek berang dan memaki hamun anggota dengan perkataan kesat.

"Suspek kemudiannya ditahan kerana menghalang tugas penjawat awam," katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian hari ini.

Menurutnya, suspek yang tidak bekerja itu direman selama tiga hari sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

"Ini kes pertama menghalang tugas penjawat awam sepanjang operasi Covid-19 dilaksanakan di daerah ini.

"Kita nasihatkan orang ramai untuk patuh terhadap kawalan dikenakan, polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas demi keselamatan semua pihak," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Omar Bakhtiar berkata, wanita yang menghilangkan diri ketika saringan kesihatan Covid-19 di Hospital Parit Buntar (HPB) kelmarin dilaporkan mempunyai simptom psikiatri atau kurang waras.

"Perkara ini disahkan sendiri oleh doktor yang merawatnya, malah wanita berusia 21 tahun itu tidak pernah bekerja sebagai pramugari sebaliknya mengikut kursus pramugari selama sebulan di sebuah kolej di Sungai Besi, Kuala Lumpur.

"Bapa wanita itu memberitahu, anaknya tidak pernah pergi dan bekerja di Singapura. Lelaki yang didakwa abang sebenarnya kenalan biasa wanita berkenaan," katanya.

Semalam, wanita terbabit yang disyaki mengalami simptom wabak Covid-19 hadir semula ke HPB sebelum dihantar ke Hospital Taiping untuk pemeriksaan lanjut.

Kenalan lelaki wanita itu yang diarah menjalani saringan kesihatan disahkan negatif Covid-19.