Pekerja kilang maut dalam perjalanan ke tempat kerja

Keadaan motosikal mangsa setelah terbabit dalam kemalangan berkenaan. - Foto IPD Kota Tinggi
Keadaan motosikal mangsa setelah terbabit dalam kemalangan berkenaan. - Foto IPD Kota Tinggi
A
A
A

KOTA TINGGI - Seorang pekerja kilang menemui ajal ketika dalam perjalanan ke tempat kerjanya selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 51 Jalan Sungai Rengit-Kota Tinggi di sini pada awal pagi Rabu.

Menurut Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman, pihaknya menerima maklumat kemalangan itu pada jam 6.05 pagi yang melibatkan motosikal mangsa jenis Yamaha Lagenda 115ZRI dengan kereta jenis Perodua Viva.

"Kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal ditunggang mangsa, dikenali sebagai Kizer Jaafar, 59, dari arah Kota Tinggi menghala ke Sungai Rengit terbabas setelah melanggar dahan pokok yang tumbang di atas jalan.

"Mangsa yang tercampak di atas jalan raya kemudiannya dilanggar Perodua Viva yang dipandu seorang lelaki berusia 59 yang tidak sempat mengelak.

"Dalam kemalangan ini, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Tambah Yusof, mayat mangsa dirujuk ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi bagi tujuan prosedur siasatan manakala pemandu Perodua Viva tidak mengalami kecederaan.

Katanya, setakat ini kes masih dalam siasatan polis dan disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

"Orang ramai yang memiliki sebarang maklumat berkenaan kejadian ujarnya, boleh berhubung dengan pegawai penyiasat Inspektor Muhammad Danial Syafiq Azahari di talian 016-8738498.

"Polis Kota Tinggi menasihatkan orang ramai supaya sentiasa peka dan mematuhi undang-undang serta peraturan-peraturan yang telah ditetapkan demi menjaga keselamatan bersama semasa di jalan raya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Pekerja kilang meninggal dalam kemalangan di Kilometer 51 Jalan Sungai Rengit-Kota Tinggi
  • Mangsa menunggang motosikal Yamaha Lagenda 115ZRI terbabas akibat melanggar dahan pokok sebelum dilanggar Perodua Viva
  • Penunggang motosikal mengalami kecederaan parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian
  • Kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, orang ramai diminta beri maklumat

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!