Kuda terlepas ragut nyawa lelaki dalam perjalanan ke tempat kerja

JASIN – Seorang lelaki dalam perjalanan ke tempat kerja maut selepas terlanggar seekor kuda yang tiba-tiba melintas jalan di Jalan Sempang Bukit Kuda, Merlimau, di sini pada awal pagi Selasa.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.10 pagi itu, mangsa, Rajak Ismail, 59, yang bekerja sebagai pekerja pembersihan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Jasin meninggal dunia di lokasi kejadian.
Pemangku Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintenden Nor Azlinda Nordin berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y16ZR dipercayai dalam perjalanan dari arah Serkam menuju ke Semujuk.
“Namun, sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal mangsa dipercayai telah melanggar haiwan tersebut yang melintas dari arah kiri jalan.
“Akibat pelanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Selasa.

Tambahnya, mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Jasin untuk proses bedah siasat sebelum dituntut oleh waris keluarga.
Ujarnya, siasatan turut mendapati tiada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berhampiran, dan pihak polis telah mengesan serta menemu bual pemilik kuda berkenaan bagi membantu siasatan.
Katanya, orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian ini diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor Ahmad Aqil Yusoff di talian 013-9393747 bagi membantu siasatan.
“Siasatan masih dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya lagi.
Ringkasan AI
- Seorang lelaki maut selepas terlanggar seekor kuda ketika dalam perjalanan ke tempat kerja di Merlimau
- Mangsa, Rajak Ismail, merupakan pekerja pembersihan di UiTM Jasin
- Siasatan awal menunjukkan mangsa menunggang motosikal dari Serkam menuju ke Semujuk
- Ketua Polis Daerah Jasin menyatakan tiada rakaman CCTV di kawasan kejadian
- Polis mencari orang awam dengan maklumat kejadian untuk bantu siasatan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

