Polis terima lima laporan Covid-19

A
A
A

BANTING - Polis menerima lima laporan terhadap individu yang disyaki dijangkiti koronavirus (Covid-19) sejak tempoh pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan 18 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman berkata, laporan terbabit dibuat oleh orang perseorangan di daerah Kuala Langat selepas mengesyaki terdapat individu tidak mematuhi tempoh kuarantin yang diarahkan pihak kesihatan.

Menurutnya, kes itu telah diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) untuk tindakan lanjut dan telah diselesaikan.

"Kes ini bagaimanapun telah selesai dan semua individu yang disyaki itu telah diserah kepada pihak KKM untuk tindakan lanjut," katanya kepada Sinar Harian di lokasi sekatan jalan raya (SJR) Ops Covid-19, di Jalan Banting-Dengkil, di sini hari ini.

Azizan berkata, sepanjang tempoh PKP dilaksanakan, pihaknya menerima kerjasama daripada seramai 62 keanggotaan membabitkan 26 anggota tentera darat dari Kem Sungai Buloh serta 36 tentera udara dari Kem Jugra.

Katanya, dengan penambahan anggota tentera itu, ia akan membantu penguatkuasaan PKP menerusi SJR dan rondaan.

Tambahnya, pihaknya turut memantau lokasi seperti pasar raya dan bank dengan mengehadkan kemasukan pengunjung bagi mengelakkan risiko jangkitan wabak selain pemantauan premis perniagaan.

"Sehingga hari ini, perintah PKP di daerah Kuala Langat dianggarkan mencapai 90 peratus kepatuhan dan jumlah ini akan terus meningkat.

Artikel Berkaitan:

"Saya seru masyarakat di daerah ini khususnya supaya mematuhi PKP. Kita perlu sedar apa yang akan terjadi jika tidak patuh arahan ini," katanya.