Amanah mahu kerajaan ada pelan khas bantu golongan memerlukan

Salahuddin Ayub. - Foto Sumber Internet
Salahuddin Ayub. - Foto Sumber Internet
A
A
A
SHAH ALAM - Parti Amanah Negara (Amanah) meminta kerajaan tidak memandang ringan terhadap golongan 'kais pagi makan pagi, kais petang makan petang' susulan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, golongan terbabit termasuklah mereka yang berada di dalam bidang pertanian seperti petani, nelayan, penternak serta peniaga kecil.

"Saya ingin menegaskan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang telah melanjutkan PKP untuk tidak memandang ringan kepada golongan berkenaan.

"Adakah kerajaan mempunyai pangkalan data yang lengkap dengan senarai mereka yang benar-benar fakir dan miskin serta mereka yang mengharapkan gaji harian tanpa simpanan?.

"Saya sangat bimbang golongan ini akan menghadapi ancaman kebuluran jika tidak ditangani secara tuntas," katanya mengulas mengenai lanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan hari ini.

Terdahulu, PKP yang akan berakhir pada 31 Mac ini dilanjutkan kepada 14 April. Muhyiddin yang mengumumkan perkara itu berkata, lanjutan tempoh tersebut diputuskan berikutan trend positif baharu dijangka akan berterusan.

Mengulas lanjut, Salahuddin yang merupakan Ahli Parlimen Pulai berkata, sebagai wakil rakyat, beliau telah membantu dengan sebaik mungkin termasuk menggunakan baki bantuan yang ada untuk memberikan bekalan makanan kepada mereka yang sangat memerlukan semasa PKP.

"Bantuan telah diberikan melalui saya sendiri atau melalui pegawai-pegawai saya di pusat khidmat.

"Tetapi walaupun belum sampai 31 Mac atau fasa pertama PKP, saya telah menerima banyak aduan daripada mereka yang hanya bersandarkan gaji harian atau mereka yang hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang," katanya.
Artikel Berkaitan:


Salahuddin berkata, apabila tempoh PKP itu dilanjutkan menjadi persoalan utamanya ialah faktor bekalan logistik untuk mengatasi keperluan makanan kepada golongan berkenaan.

Sehubungan itu, beliau berharap perkara itu diteliti oleh perdana menteri dan mengharapkan satu pelan operasi khas yang jelas dapat dilaksanakan bagi membantu golongan yang paling berisiko itu.