Penghantar, enam NGO tuntut penjelasan terperinci mekanisme baharu BUDI95

SHAH ALAM - Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (Penghantar) menggesa penjelasan terperinci daripada pihak kerajaan berhubung pelaksanaan mekanisme Budi Madani RON95 (BUDI95) bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan pemandu e-hailing.
Penghantar bersama enam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mewakili p-hailing dan e-hailing dalam satu kenyataan memberitahu, penjelasan terlalu umum boleh menyebabkan salah faham.
"Kami mengalu-alukan dan menghargai usaha kerajaan melalui Kementerian Kewangan (MOF) yang sedang meneliti semula mekanisme pelaksanaan inisiatif BUDI95 bagi sektor e-hailing dan p-hailing.
"Kami berharap isu sebelum ini tidak berulang dan kerajaan dapat memberi angka lebih jelas mengenai kuota tambahan serta kriteria pelaksanaan," katanya pada Isnin.
Enam persatuan terbabit ialah Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia, Persatuan Perpaduan Rakan Penghantar Malaysia, Persatuan Penghantar dan Penghantar E-Hailing Sabah serta Persatuan Rakan Penghantar Melaka.
Selain itu, Persatuan Kebajikan Perkhidmatan Penghantar Bermotosikal Perak dan Persatuan Rakan Penghantar Kedah.
Sebelum ini, kerajaan akan mengumumkan penambahbaikan bagi kelayakan BUDI95 untuk pemandu e-hailing dalam masa terdekat.
Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican berkata, kerajaan telah berjumpa dengan platform e-hailing bersama Kementerian Pengangkutan untuk melihat tahap kecukupan daripada segi hak kelayakan.
Katanya, kerajaan telah meneliti dari segi penggunaan data yang ada dan berdasarkan penggunaan data itu, ketetapan dibuat untuk menambah baik kelayakan.
Tambah kenyataan itu, antara gesaan utama Penghantar adalah kerajaan menambah kuota BUDI95 bagi sektor e-hailing kepada sekurang-kurangnya 1,200 liter sebulan dan memansuhkan syarat minimum jarak perjalanan 3,000 kilometer yang didakwa menyukarkan ramai pemandu untuk menikmati manfaat program tersebut.
"Kriteria jarak minimum tersebut sukar dipenuhi terutamanya bagi pemandu sepenuh masa di kawasan luar bandar dan bandar kecil seperti di Kedah, yang mana permintaan perjalanan jauh lebih rendah berbanding di Lembah Klang.
"Ada juga pemandu yang perlu menjaga ahli keluarga tidak sihat, sekali gus membataskan jumlah perjalanan dan menafikan hak kebajikan kumpulan ini," katanya.
Selain itu, mereka turut menggesa Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) agar bertindak tegas terhadap syarikat penyedia perkhidmatan e-hailing (EHO) yang gagal atau lewat menyerahkan maklumat pemandu kepada kerajaan.
Menurutnya, tindakan sedemikian menjejaskan kelancaran pelaksanaan dasar kerajaan dan menafikan hak golongan pemandu e-hailing untuk menerima bantuan sewajarnya.
"Maklumat kami menunjukkan masih ada EHO yang lambat atau gagal menyerahkan data kepada kerajaan. Isu ini tidak boleh dipandang ringan kerana ia membabitkan kebajikan ribuan pemandu di seluruh negara," katanya.
Dalam masa sama, Penghantar turut memohon supaya kerajaan memberikan maklum balas rasmi mengenai pelaksanaan BUDI95 bagi sektor p-hailing memandangkan ramai penghantar makanan dan barangan masih belum menerima kuota tambahan walaupun MOF sebelum ini menyatakan pembayaran tambahan turut merangkumi sektor tersebut.
Mereka juga berharap kerajaan terus meneliti kebajikan semua pemandu, penghantar e-hailing dan p-hailing selaras dengan semangat keprihatinan serta dasar inklusif kerajaan terhadap rakyat.
Ringkasan AI
- Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia bersama enam NGO lain meminta kerajaan jelaskan pelaksanaan BUDI95
- Mereka ingin kerajaan beri angka jelas mengenai kuota dan kriteria pelaksanaan untuk elak salah faham
- Gesaan termasuk meningkatkan kuota BUDI95 kepada sekurang-kurangnya 1,200 liter dan memansuhkan syarat jarak minimum 3,000 kilometer
- Minta APAD bertindak terhadap syarikat e-hailing yang lewat serahkan data pemandu
- Memohon kerajaan beri maklum balas tentang pelaksanaan BUDI95 bagi sektor p-hailing termasuk pembayaran tambahan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

