Agensi kerajaan tuntut penjelasan, 800 staf dan ahli keluarga keracunan makanan di taman tema

Sebahagian besar peserta mula menunjukkan simptom seperti muntah, cirit-birit, sakit perut dan dehidrasi dalam tempoh sejam selepas menjamu selera. - Gambar hiasan
Sebahagian besar peserta mula menunjukkan simptom seperti muntah, cirit-birit, sakit perut dan dehidrasi dalam tempoh sejam selepas menjamu selera. - Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Lebih 800 kakitangan dan ahli keluarga sebuah agensi kerajaan dilaporkan mengalami keracunan makanan selepas menghadiri program hari keluarga di sebuah taman tema terkenal pada 4 Oktober lalu.

Insiden berkenaan bagaimanapun mengundang tanda tanya apabila Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Selangor sehingga kini didakwa masih belum mendedahkan hasil siasatan penuh, meskipun insiden telah berlaku lebih sebulan.

Memetik laporan portal Scoop, difahamkan hanya dapur taman tema itu diarahkan tutup selama dua minggu bermula 7 hingga 21 Oktober untuk kerja-kerja pembersihan.

Bagaimanapun, taman tema tersebut kekal dibuka kepada orang awam.

Perkembangan tersebut mengundang kritikan apabila timbul kebimbangan punca sebenar kejadian mungkin melibatkan bukan sahaja makanan yang disediakan, tetapi juga air di kolam dan permainan air di taman tema berkenaan.

Menurut sumber, sebahagian besar peserta mula menunjukkan simptom seperti muntah, cirit-birit, sakit perut dan dehidrasi dalam tempoh sejam selepas menjamu selera pada acara tersebut.

Antara yang terjejas termasuk kanak-kanak, warga emas dan individu berkeperluan khas.

Beberapa mangsa turut mendapatkan rawatan di hospital akibat dehidrasi dan cirit-birit teruk.

Sumber turut memaklumkan, sampel makanan yang disediakan secara katering dalaman telah diambil untuk ujian, manakala pengendali makanan dipanggil memberi keterangan.

Artikel Berkaitan:

Namun dakwanya, tiada sampel air diambil bagi memastikan sama ada kolam atau permainan air terlibat dalam pencemaran.

Sehubungan itu, agensi kerajaan terbabit kini sedang meneliti tindakan undang-undang terhadap pengurusan dan pemilik taman tema tersebut.

Lebih mengejutkan, sumber tersebut turut mendakwa tiada sebarang usaha proaktif daripada pihak taman tema untuk menghubungi mangsa, menawarkan pampasan atau bantuan perubatan.

Ringkasan AI

  • Lebih 800 kakitangan dan ahli keluarga agensi kerajaan keracunan makanan selepas menghadiri program hari keluarga di taman tema
  • Jabatan Kesihatan Negeri Selangor belum dedahkan hasil siasatan penuh walaupun kejadian berlaku lebih sebulan
  • Dapur taman tema ditutup dua minggu untuk pembersihan, tapi taman tema kekal dibuka
  • Sebahagian besar peserta tunjuk simptom muntah, cirit-birit, sakit perut dan dehidrasi dalam sejam selepas makan
  • Agensi kerajaan pertimbang tindakan undang-undang terhadap pengurusan taman tema, taman tema gagal hubungi mangsa untuk pampasan atau bantuan perubatan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!