[VIDEO] Pencemaran Sungai Johor: Tiga laporan polis diterima

KOTA TINGGI – Tiga laporan polis diterima polis berhubung insiden pencemaran air Sungai Johor yang menjejaskan kehidupan penduduk termasuk masyarakat Orang Asli di daerah ini.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata daripada jumlah itu, dua laporan dibuat oleh penduduk kampung yang terjejas manakala satu lagi oleh syarikat pengendali air, Ranhill SAJ Sdn. Bhd.
“Setakat ini, kita sahkan tiga laporan telah diterima dan dijangka ada beberapa lagi laporan akan dibuat oleh penduduk terlibat,” katanya ketika ditemui selepas taklimat dan meninjau kawasan Kampung Orang Asli Sayong Pinang di sini, pada Isnin.

Beliau berkata, siasatan berhubung kes itu dijalankan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, serta Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).
Tambahnya, setakat ini, tiga perkampungan Orang Asli dikenal pasti terjejas akibat pencemaran berkenaan iaitu Kampung Sayong Pinang, Kampung Pasir Intan dan Kampung Kempas Menang.
"Ketika sesi taklimat dengan pelbagai agensi dan kepimpinan kampung penduduk menyuarakan aduan tentang pendapatan harian yang terjejas.
“Penduduk yang bekerja sebagai nelayan sungai tidak dapat meneruskan aktiviti harian kerana sumber air tercemar dan ikan mati,” katanya.
Dalam pada itu, Tok Batin Kampung Orang Asli Sungai Sayong Pinang, Majid Jantan memberitahu pelbagai agensi turun padang melihat keadaan Sungai Johor yang tercemar.
"Keadaan air sungai masih berlumpur dan tidak berubah meskipun hujan pada petang Ahad. Sudah empat hari, nelayan tidak ke sungai.
"Kami harap tindakan segera dapat diambil pihak kerajaan dan syarikat terlibat untuk mengatasi isu pencemaran air daripada berulang," ujarnya.
Nelayan, Azman Iman, 48, merayu agar pemantauan terhadap aktiviti pasir dan kilang berdekatan dipertingkatkan bagi mengelak pencemaran berulang yang menjejaskan sumber pendapatan mereka.
Menurutnya, akibat pencemaran itu bukan sahaja nelayan terjejas, malah pengguna turut berhadapan masalah mendapatkan bekalan air bersih.
Pada Jumaat, pencemaran lumpur di hulu Sungai Johor disedari penduduk pada jam 7 pagi akibat insiden kolam cucian pasir yang pecah di sebuah kawasan perlombongan pasir darat berhampiran Kampung Orang Asli Sayong Pinang.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh, dalam kenyataan berkata, paras kekeruhan air meningkat kepada 37,400 unit Nephelometric Turbidity Unit (NTU) berbanding paras normal sekitar 400 NTU.
Susulan itu, katanya, kerajaan negeri mengambil langkah segera meningkatkan pelepasan air dari Empangan Linggiu bagi mencairkan lumpur dan mengurangkan tahap kekeruhan di Sungai Johor.
Ringkasan AI
- Tiga laporan polis diterima berhubung insiden pencemaran air Sungai Johor
- Dua laporan daripada penduduk terjejas dan satu daripada syarikat pengendali air Ranhill SAJ Sdn Bhd
- Siasatan dijalankan oleh Jabatan Alam Sekitar Johor dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara
- Tiga perkampungan Orang Asli terjejas akibat pencemaran
- Pendapatan harian penduduk, terutama nelayan sungai, terjejas akibat pencemaran
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

