Pertimbang rebat bil air susulan pencemaran Sungai Johor - Exco

Mohamad Fazli (dua dari kiri) meninjau lori tangki air di Taman Impian Emas,Skudai.
Mohamad Fazli (dua dari kiri) meninjau lori tangki air di Taman Impian Emas,Skudai.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan Johor akan mempertimbangkan pemberian rebat atau pengurangan bil air kepada pengguna yang terjejas susulan insiden pencemaran teruk di Sungai Johor.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, perkara itu sedang diperhalusi selepas lebih 292,000 akaun pengguna di beberapa daerah termasuk Kota Tinggi, Johor Bahru, Pontian, Gelang Patah dan Kulai terjejas akibat insiden berkenaan.

“Nantikan pengumuman (rebat) kerajaan negeri, akan dipertimbangkan,” katanya secara ringkas dalam sidang akhbar di Taman Impian Emas, pada Rabu.

Pada 26 Mei lalu, ketika sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan sebanyak 155,074 akaun pengguna domestik dan bukan domestik yang terjejas dengan krisis bekalan air bersih di negeri itu akan menerima rebat 15 peratus bagi bil bulan berkenaan.

Ketika itu, kira-kira 100,000 akaun pengguna di sekitar Johor Bahru terjejas susulan kerosakan luar jangka pada pam utama yang menyalurkan air ke Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Johor.

Dalam pada itu, Mohamad Fazli berkata, bekalan air yang terjejas akibat pencemaran Sungai Johor, melibatkan hampir 1.2 juta isi rumah di Johor Bahru, Kota Tinggi, Gelang Patah, Kulai dan Pontian, dijangka pulih sepenuhnya pada jam 12 tengah malam Rabu.

“Setakat jam 3 petang, sebanyak 99 peratus pemegang akaun telah kembali menerima bekalan air, manakala 2,472 pemilik akaun lagi masih belum menerima bekalan. Bekalan air dijangka pulih sepenuhnya menjelang 12 tengah malam ini.

“Proses pemulihan mengambil masa kerana terdapat kawasan yang mengalami tekanan air rendah serta memerlukan masa untuk memenuhkan tangki utama di Taman Impian Emas.

“Kawasan ini berada di penghujung jajaran sistem paip dan masih mengalami bekalan air yang tidak selanjar. Bantuan turut dilakukan menggunakan kaedah inline injection di kawasan tersebut,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, bagi agihan bekalan air kepada penduduk terjejas, Ranhill SAJ Sdn Bhd telah menggerakkan 43 lori tangki dan turut menerima bantuan daripada Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) serta Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS).

Ringkasan AI

  • Kerajaan Johor akan mempertimbangkan rebat atau pengurangan bil air kepada pengguna terjejas pencemaran Sungai Johor
  • Lebih 292,000 akaun pengguna di beberapa daerah termasuk Kota Tinggi dan Johor Bahru terjejas
  • Pengumuman mengenai rebat dari kerajaan negeri dijangka dibuat
  • Hampir 1.2 juta isi rumah di Johor Bahru, Kota Tinggi, dan beberapa daerah lain terjejas
  • Bekalan air dijangka pulih sepenuhnya pada 12 tengah malam Rabu

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!