Covid-19: 29 anggota polis termasuk keluarga di Perak dikuarantin

Seramai 29 orang terdiri daripada pegawai, anggota dan anggota pentadbiran Polis Diraja Malaysia (PDRM) Perak termasuk ahli keluarga, dikuarantin selama 14 hari sebagai langkah pencegahan penularan wabak penyakit koronavirus (Covid-19). Gambar hiasan.
Seramai 29 orang terdiri daripada pegawai, anggota dan anggota pentadbiran Polis Diraja Malaysia (PDRM) Perak termasuk ahli keluarga, dikuarantin selama 14 hari sebagai langkah pencegahan penularan wabak penyakit koronavirus (Covid-19). Gambar hiasan.
A
A
A

IPOH- Seramai 29 orang terdiri daripada pegawai, anggota dan anggota pentadbiran Polis Diraja Malaysia (PDRM) Perak termasuk ahli keluarga, dikuarantin selama 14 hari sebagai langkah pencegahan penularan wabak penyakit koronavirus (Covid-19).

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, manakala sejumlah 13 orang lagi dikuarantin bagi tempoh yang sama, selepas disahkan negatif oleh pihak hospital.

"Ini adalah sebagai langkah pencegahan, sebab mana-mana pegawai dan anggota yang mengalami batuk dan selesema, kita memang menasihatkan mereka supaya menjalani ujian saringan di klinik kesihatan daerah atau hospital.

"Kita bukan sengaja mahu mengurangkan jumlah anggota bertugas (semasa tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan), tetapi ini adalah langkah yang diambil supaya tidak berlaku jangkitan ke atas anggota polis yang lain pula, sekiranya dijangkiti Covid-19 kerana semua anggota perlu berada dalam keadaan sihat, semasa menjalankan tugas," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas melakukan tinjauan ke sebuah bank di Ipoh Garden di sini, yang turut disertai Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu di sini, hari ini.

Sementara itu, Razarudin berkata, pihaknya menafikan sekeras-kerasnya dakwaan sesetengah pihak, mengenai anggota polis bertindak memaksa orang ramai memakai penutup mulut dan hidung, apabila mahu memasuki sesebuah pasar raya atau pasar awam.

"Apa yang kita kesan ialah pengawal keselamatan pasar raya berkenaan yang mengarahkan pengunjung, supaya memakai penutup mulut dan hidung, jika mahu membeli barangan. Kita hanya mengaturkan jarakan sosial ke atas orang ramai, semasa berada di pasar raya atau pasar awam.

"Satu lagi tohmahan yang tersebar sejak beberapa hari lalu, mendakwa polis menghentikan operasi syarikat bas di Taiping. Apa yang kita kesan adalah apabila pemandu bas itu melihat hanya dua tiga orang sahaja yang membeli tiket, dia mendakwa polis telah menghentikan operasi itu, dan ia adalah satu perkara yang tidak benar sama sekali," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Razarudin berkata, pematuhan rakyat terhadap PKP yang memasuki hari kelapan hari ini meningkat kepada 95 peratus, yang mana lima peratus lagi merupakan golongan yang terpaksa keluar disebabkan urusan kerja, membeli barangan dan mempunyai pemeriksaan kesihatan di klinik dan hospital.

Sementara itu Ahmad Faizal berkata, sebarang tohmahan dan berita palsu mengenai wabak Covid-19 yang disebarkan oleh pihak tertentu, adalah satu tindakan yang tidak baik.

"Apa juga arahan dan makluman akan kita keluarkan kenyataan secara rasmi atau mengadakan sidang akhbar secara rasmi, untuk diuar-uarkan kepada orang ramai," katanya.-Bernama