Nelson Mandela Timor-Leste

DILI - Perdana Menteri Timor-Leste, Kay Rala Xanana Gusmao menjadi tumpuan pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 kerana keperibadiannya yang bersahaja dan mesra.
Beliau dilahirkan pada 20 Jun 1946 di Manatuto, Timor-Leste dan mendapat pendidikan awal di sekolah Katolik tempatan sebelum menceburi pentadbiran awam pada 1966.
Xanana menyertai tentera Portugis dari 1968 hingga 1970 sebelum minatnya terhadap politik terserlah melalui akhbar A Voz de Timor dan parti ASDT, yang kemudian menjadi FRETILIN.
Apabila Indonesia menyerang Timor-Leste pada 1975, Xanana tampil sebagai tokoh gerila utama menentang pendudukan.
Selepas kematian Presiden BarisanRevolusi bagi Kemerdekaan Timor-Leste (FRETILIN) pada 1978, beliau mengambil alih kepimpinan gerakan penentangan, menubuhkan Majlis Nasional Rintangan Maubere (CNRT) dan mengetuai Pasukan Bersenjata Pembebasan Nasional (FALINTIL).

Pernah ditangkap di Indonesia
Perjuangan panjang itu membawa beliau hidup di hutan hampir 17 tahun sebelum ditangkap tentera Indonesia pada 1992.
Di penjara, semangatnya tetap tinggi apabila Xanana menulis puisi, melukis, mempelajari bahasa baharu dan merancang masa depan negara.
Pembebasannya pada 1999 menjadikannya simbol perpaduan dan keberanian rakyat Timor-Leste menuju kemerdekaan.
Beliau mengetuai proses peralihan ke arah kemerdekaan di bawah pengawasan PBB dan dipilih sebagai Presiden pertama Timor-Leste pada 2002.
Selepas tamat tempoh sebagai Presiden pada 2007, Xanana menubuhkan parti CNRT dan terus berkhidmat kepada negara sebagai Perdana Menteri serta Menteri Pertahanan dan Keselamatan.
Antara sumbangan besarnya ialah menggubal Pelan Pembangunan Strategik 2011–2030 serta rundingan sempadan maritim dengan Australia dan Indonesia.
Beliau kembali menjadi Perdana Menteri pada 1 Julai 2023 selepas parti CNRT memenangi pilihan raya Parlimen.
Kini, Xanana terus memimpin usaha memajukan ekonomi baru Timor-Leste dan memperkukuh hubungan diplomatik dengan negara jiran.
Sepanjang kerjayanya, beliau menerima pelbagai pengiktirafan antarabangsa termasuk Anugerah Keamanan Sakharov (1999) dan Hadiah Keamanan Kwangju (2000).
Beliau turut dianugerahi Darjah Kebesaran “Bintang Republik Indonesia Adipurna” pada 2014 oleh Presiden Susilo Bambang Yudhoyono.
Xanana juga menerima lebih 20 Ijazah Kehormat Doktor Falsafah daripada universiti ternama termasuk Universiti Melbourne, Waseda, Coimbra, Kyoto dan Universiti Malaysia Sabah.
Beliau sering digelar Nelson Mandela Timor-Leste kerana perjuangan kemerdekaan dan dedikasinya terhadap rakyat.
Walaupun dihormati sebagai negarawan, keperibadiannya tetap sederhana dan mudah didekati.

Tampil gaya bersahaja
Di majlis antarabangsa, Xanana terkenal dengan gaya bersahaja dan senyuman mesra yang mencuit hati pemimpin lain.
Beliau juga mengambil berat tentang kesejahteraan rakyat, memantau projek pembangunan dan memastikan hak rakyat terpelihara.
Kepemimpinan Xanana telah membantu menstabilkan negara selepas perang dan memperkukuh ekonomi Timor-Leste.
Beliau memainkan peranan penting dalam memastikan Timor-Leste diterima sebagai anggota ASEAN, meningkatkan kredibiliti negara di pentas antarabangsa.
Pengalaman beliau sebagai pejuang gerila membentuk kepemimpinan yang tegas namun adil.
Xanana kini menjadi ikon nasional dan inspirasi bagi generasi muda Timor-Leste.
Tokoh ini kekal relevan dalam politik moden dan terus menjadi jambatan antara sejarah dan masa depan negara kecil itu.
Kepimpinan dan pengiktirafan antarabangsa menjadikan beliau antara tokoh paling dihormati di Asia Tenggara. - Agensi
Ringkasan AI
- Perdana Menteri Timor-Leste, Kay Rala Xanana Gusmao, dikenali kerana kepemimpinannya yang bersahaja dan mesra
- Beliau menjadi tokoh gerila utama menentang pendudukan Indonesia selepas serangan pada tahun 1975 dan kemudian menjadi Presiden pertama Timor-Leste pada 2002
- Xanana memimpin Timor-Leste menuju kemerdekaan, termasuk dalam proses peralihan ke arah kemerdekaan di bawah pengawasan PBB
- Kembali menjadi Perdana Menteri pada 1 Julai 2023 setelah parti CNRT memenangi pilihan raya Parlimen
- Dikenali sebagai Nelson Mandela Timor-Leste, telah menerima pelbagai pengiktirafan antarabangsa dan terus memajukan ekonomi serta hubungan diplomatik Timor-Leste
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
