Trump, Xi Jinping dua lagi pemimpin dunia dijangka hadir Sidang Kemuncak ASEAN

Anwar.
Anwar.
A
A
A

CYBERJAYA - [DIKEMAS KINI] Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, Presiden China Xi Jinping dijangka hadir ke sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang dijadualkan berlangsung pada Oktober depan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, persidangan yang akan diadakan di Kuala Lumpur itu turut dihadiri oleh Presiden Brazil, Lula Da Silva dan Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa yang kini memegang jawatan Pengerusi BRICS serta G20.

Menurutnya, sidang kemuncak itu bakal menjadi suatu perhimpunan sebenar yang menghimpunkan pusat-pusat kuasa dan pengaruh utama dunia.

"Kita amat menantikan kehadiran ketua-ketua kerajaan ASEAN serta rakan dialog kita, termasuk Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dan saya percaya Presiden Xi Jinping dari China," katanya dalam ucapan sempena Sambutan Hari ASEAN ke-58, di sini pada Jumaat.

Menyifatkan kehadiran pemimpin dunia ke pentas ASEAN sebagai langkah pertama, beliau berkata, ujian lebih besar adalah untuk memastikan kuasa-kuasa besar dunia pulang dengan keyakinan dan hasil yang memberi nilai berpanjangan.

"Seluruh dunia akan memerhati. Kita mesti memanfaatkan peluang ini (kerana) ini adalah masa untuk menilai semula dan melihat sejauh mana perjalanan kita (ASEAN).

"Saya yakin para pengasas ASEAN akan berbangga dengan kemajuan namun, kita tidak boleh menganggap bahawa motivasi dan kebimbangan yang mendorong penandatangan Deklarasi Bangkok 1967 sudah tidak relevan," jelas beliau.

Menyentuh mengenai ekonomi ASEAN, Anwar berkata, hubungan dagangan dan pelaburan rentas sempadan, usaha membangunkan rangkaian tenaga dan keterhubungan serantau menjadi fokus agenda ekonomi.

"Perkara ini akan dibincangkan secara mendalam pada Oktober nanti," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada perkembangan berkaitan, Anwar menegaskan keyakinannya bahawa Myanmar mampu menuju ke arah gencatan senjata sekiranya semua pihak terus komited mendukung peranan ASEAN sebagai pengantara dan pemudah cara keamanan.

Katanya, kemajuan awal telah dicapai dalam usaha meredakan konflik di Myanmar, khususnya melalui pertemuan dan perbincangan yang sedang diatur bersama Menteri Luar Thailand dan Indonesia.

“Kami akan berkunjung ke Myanmar dalam masa terdekat untuk menegaskan kepentingan menghentikan keganasan, memulakan gencatan senjata dan menggalakkan dialog antara semua pihak berkepentingan. Langkah ini penting untuk mengembalikan keamanan dan kestabilan di negara itu,” katanya.

Menurut beliau, mandat dan sokongan padu semua pemimpin ASEAN memberi kekuatan tambahan kepada Malaysia dalam memainkan peranan penting sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini.

“Apabila saya menyampaikan pandangan kepada pemimpin Myanmar, mereka sedar ia datang dengan mandat penuh ASEAN.

"Ini menjadikan saranan kita diambil serius dan memberi ruang lebih besar untuk mencapai hasil positif,” katanya.

Menyorot kejayaan ASEAN memeterai gencatan senjata pantas dan berkesan antara Thailand dan Kemboja baru-baru ini, Anwar berkata pencapaian itu menjadi bukti kemampuan ASEAN bertindak pantas dalam merungkai pertikaian serantau.

“Sejarah gencatan senjata dunia jarang menyaksikan kejayaan sepantas ini. Ia membuktikan kekuatan kepercayaan, kerjasama dan kesediaan bertindak dalam kerangka ASEAN. Kejayaan ini memberi isyarat positif untuk kita membantu Myanmar,” ujarnya.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!