Dua dekad pembinaan, Muzium Agung Mesir bernilai AS$1 bilion akhirnya dibuka

Pelawat mengambil gambar patung Firaun Amenhotep III (1391–1353 SM) serta permaisurinya, Ratu Tiye di Muzium Agung Mesir. Foto AFP
Pelawat mengambil gambar patung Firaun Amenhotep III (1391–1353 SM) serta permaisurinya, Ratu Tiye di Muzium Agung Mesir. Foto AFP
A
A
A

KAHERAH – Mesir kini bersiap sedia menyambut pembukaan Muzium Agung Mesir (GEM) dalam majlis penuh adat diraja dan kemegahan, yang dianggap sebagai permata utama usaha kerajaan dalam memulihkan industri pelancongan negara.

Terletak dengan pemandangan panorama dataran piramid Giza, muzium moden ini menempatkan ribuan artifak yang merentasi lebih 5,000 tahun sejarah Mesir, dengan kos melebihi A$1 bilion (RM4.5 bilion).

Lebih daripada dua dekad dibina, GEM menjangkakan lima juta pengunjung setiap tahun, termasuk koleksi bersejarah yang dipamerkan buat kali pertama kepada umum.

Muzium yang dinanti-nantikan ini dirasmikan pada 1 November.
Muzium yang dinanti-nantikan ini dirasmikan pada 1 November.

Media tempatan dan kenyataan rasmi menggambarkan pembukaan ini sebagai 'detik bersejarah', menyifatkan muzium itu sebagai 'hadiah Mesir kepada dunia' dan 'bab baharu dalam sejarah tamadun Mesir'.

Walaupun jemputan rasmi bagi tetamu kenamaan tidak didedahkan, pihak penganjur menjanjikan kehadiran 'raja, putera, ketua negara dan pemimpin kerajaan'.

Mulai Selasa ini, pengunjung biasa dapat melihat lebih 4,500 daripada 5,000 objek pengebumian yang sebelum ini disimpan di pelbagai lokasi, termasuk koleksi di Muzium Mesir era kolonial di pusat Kaherah.

Paparan ikonik topeng emas Firaun Tutankhamun turut disediakan, tetapi maklumat lanjut mengenai susun atur baharu itu masih dirahsiakan.

Artikel Berkaitan:

Antara artifak firaun yang dipamerkan.
Antara artifak firaun yang dipamerkan.

Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi, pada Sabtu mengadakan mesyuarat tertinggi bagi memastikan persiapan berjalan lancar, menekankan kepentingan simbolik GEM sebagai pusat budaya dan sains antarabangsa yang bakal memacu promosi pelancongan negara.

Perdana Menteri, Mostafa Madbouly pula menyifatkan pembukaan ini sebagai pengiktirafan kepada Mesir sebagai 'pusat tamadun dan peneraju inovasi dalam bidang budaya serta muzium'.

Topeng pengebumian emas Firaun Tutankhamun (1341–1323 SM) turut dipamerkan.
Topeng pengebumian emas Firaun Tutankhamun (1341–1323 SM) turut dipamerkan.

Pembukaan asal dijadualkan pada 3 Julai, tetapi ditangguhkan selepas serangan Israel ke atas Iran pada 13 Jun yang mencetuskan perang 12 hari dan menutup ruang udara di banyak kawasan Asia Barat.

Projek ini juga menghadapi cabaran politik dan impak pandemik Covid-19 sebelum ini.

Bagi mencapai capaian global, konglomerat Mesir United Media Services menjalin kerjasama strategik dengan TikTok bagi berkongsi kisah tamadun Mesir kepada penonton seluruh dunia.

Selepas beberapa tahun ketidakstabilan, industri pelancongan Mesir kini menunjukkan pemulihan positif, dengan hasil pelancongan meningkat 34.6 peratus. - AFP

Ringkasan AI

  • Mesir bersiap sedia menyambut pembukaan Muzium Agung Mesir dengan majlis adat diraja dan kemegahan
  • Terletak berhadapan dengan piramid Giza, muzium ini menempatkan ribuan artifak bersejarah dengan kos pembinaannya melebihi RM4.5 bilion
  • GEM menjangkakan lima juta pengunjung setiap tahun dengan koleksi bersejarah yang dipamerkan buat kali pertama
  • Muzium ini digambarkan sebagai 'hadiah Mesir kepada dunia' dan simbol bab baharu dalam sejarah tamadun Mesir
  • Pembukaan GEM dihadiri oleh raja, putera, ketua negara dan pemimpin kerajaan, menekankan kepentingannya sebagai pusat budaya dan sains antarabangsa

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!