CAP gesa semua negeri larang penjualan vape demi lindungi generasi muda

Penggunaan vape dan rokok elektronik didapati semakin berleluasa dalam kalangan pelajar di Pulau Pinang dan Perak. Subbarow (gambar kecil) - Gambar hiasan
Penggunaan vape dan rokok elektronik didapati semakin berleluasa dalam kalangan pelajar di Pulau Pinang dan Perak. Subbarow (gambar kecil) - Gambar hiasan
A
A
A

GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa negeri-negeri yang masih belum melaksanakan larangan penjualan vape dan rokok elektronik agar segera berbuat demikian demi melindungi kesihatan generasi muda, khususnya pelajar sekolah.

Pegawai Pendidikan Kanan merangkap Aktivis Anti Merokok CAP, N V Subbarow berkata, pihaknya bersama ibu bapa dan guru tertanya-tanya bilakah negeri-negeri terbabit akan mengumumkan pengharaman sepenuhnya terhadap penjualan dan penggunaan vape.

Menurutnya, sehingga kini Pulau Pinang, Perak, Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan, Melaka, Sabah dan Sarawak masih belum menguatkuasakan larangan tersebut.

"Kami tidak faham sebab kelewatan ini berlaku (pengharaman sepenuhnya).

"Ini isu kesihatan yang sangat penting dan kerajaan terpaksa membelanjakan berjuta-juta ringgit untuk merawat penyakit yang berpunca daripada amalan tidak sihat ini," katanya dalam kenyataan di sini, pada Sabtu.

Beliau berkata, satu kempen yang dijalankan baru-baru ini oleh CAP mendapati penggunaan vape dan rokok elektronik masih berleluasa dalam kalangan pelajar sekolah di Pulau Pinang dan Perak.

Katanya, sebelum ini, masalah berkenaan lebih ketara di sekolah jenis kebangsaan, namun kini ia turut merebak ke sekolah rendah pelbagai aliran bahasa.

Tambah Subbarow, berdasarkan laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), anggaran kos rawatan penyakit berkaitan rokok elektronik seperti e-vali mencecah RM244.8 juta, seperti dinyatakan oleh Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni.

"Adakah kita mahu lebih banyak wang rakyat dibelanjakan untuk penyakit akibat penggunaan vape?" katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, beberapa negeri seperti Johor, Kelantan, Terengganu, Perlis, Kedah dan Pahang telah mengambil langkah awal dengan tidak mengeluarkan atau memperbaharui lesen penjualan rokok elektronik.

Sehubungan itu, CAP menggesa semua negeri lain supaya segera mengumumkan larangan penjualan dan penggunaan vape tanpa sebarang kelewatan demi masa depan pelajar dan generasi muda negara.

"Kesihatan generasi akan datang lebih penting daripada kekayaan individu," tegasnya.

Ringkasan AI

  • CAP gesa larangan penjualan vape dan rokok elektronik demi kesihatan generasi muda
  • Pulau Pinang, Perak, Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan, Melaka, Sabah dan Sarawak belum larang vape
  • Kempen CAP mendapati penggunaan vape berleluasa di kalangan pelajar sekolah
  • Kos rawatan penyakit akibat rokok elektronik dianggarkan RM244.8 juta
  • Johor, Kelantan, Terengganu, Perlis, Kedah dan Pahang tidak keluar atau perbaharui lesen vape

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!