Nelayan terjejas teruk akibat pencemaran Sungai Sayong

Keadaan Sungai Sayong yang dipenuhi lumpur dan ratusan ikan timbul di permukaan air selepas berlaku pencemaran di Sungai Sayong Keadaan Sungai Sayong, Kota Tinggi. - Foto FB Jasni
Keadaan Sungai Sayong yang dipenuhi lumpur dan ratusan ikan timbul di permukaan air selepas berlaku pencemaran di Sungai Sayong Keadaan Sungai Sayong, Kota Tinggi. - Foto FB Jasni
A
A
A

KOTA TINGGI – “Kali ini nelayan mungkin tidak dapat turun ke sungai dalam tempoh yang agak lama kerana proses memulihkan sungai yang tercemar mengambil masa yang panjang.

"Ditambah pula dengan musim kemarau sekarang, lumpur semakin tebal dan ikan tidak lagi datang ke kawasan ini.”

Demikian rintihan Pengerusi Jaringan Perikanan Masyarakat Orang Asli Parlimen Tenggara, Jasni Amat, 48, mengenai nasib kira-kira 150 nelayan di sepanjang Ulu Sungai Johor susulan pencemaran yang berlaku di Sungai Sayong.

Sebelum itu, pada Jumaat, Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengesahkan bahawa 'bund silt pond' atau kolam takungan sedimen daripada aktiviti pengorekan pasir di hulu Sungai Johor, Kota Tinggi telah pecah.

Menurut Jasni, kejadian terbaharu sejak pagi Jumaat itu menyebabkan air sungai bertukar warna putih dan dipenuhi lumpur.

"Pagi itu saya dapat maklum daripada nelayan yang mengatakan air sungai berwarna putih. Nelayan juga beritahu ikan timbul di permukaan sungai akibat pencemaran air.

"Bila kami turun ke jeti, memang betul keadaannya. Kami tidak pasti tahap pencemaran ini dan sehingga kini sungai penuh dengan lumpur dan berselut. Kami bimbang ia berterusan," katanya ketika dihubungi.

Jasni Amat (tengah) bersama penduduk Kampung Sayong Pinang menunjukkan laporan polis berkaitan pencemaran sungai Sayong di Kota Tinggi di Balai Polis Bandar Tenggara.
Jasni Amat (tengah) bersama penduduk Kampung Sayong Pinang menunjukkan laporan polis berkaitan pencemaran sungai Sayong di Kota Tinggi di Balai Polis Bandar Tenggara.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kejadian itu menyebabkan banyak ikan mati, selain lumpur tebal menutupi dasar sungai hingga mengakibatkan nelayan tidak dapat turun menangkap ikan seperti biasa.

“Air lumpur tu macam tsunami, naik mendadak dan kemudian surut, tinggalkan lumpur di sepanjang sungai.

"Sekarang ini kalau turun ke sungai pun memang tak ada hasil langsung,” katanya.

Beliau berkata, sebelum ini nelayan di kawasan berkenaan biasanya memperoleh hasil seperti udang galah, ikan patin, jelawat dan lampam, dengan pendapatan mingguan sekitar RM200.

Namun, sejak kejadian semalam, mereka terpaksa berhenti mencari rezeki malah ada bot dan peralatan yang rosak akibat dimasuki pasir dan lumpur.

“Duit hasil tangkapan itu, mereka guna terus untuk beli makanan dan keperluan keluarga. Sekarang bila tak dapat turun ke sungai, memang mereka susah nak cari makan.

"Diharap pampasan dapat diberikan kepada nelayan terlibat kerana sungai yang tercemar kali ini tidak tahu bila akan pulih dan banyak peralatan yang rosak akibat lumpur," ujarnya.

Dalam pada itu, Jasni berkata, laporan polis sudah dibuat, namun pihaknya bimbang kerana kejadian pencemaran seperti itu bukan kali pertama berlaku.

“Dah banyak kali jadi. Sungai ini pernah dicemari ammonia, diikuti cecair berwarna hitam tahun lalu.

"Saya harap kerajaan ambil serius sebab Ulu Sungai Johor ni sumber utama bekalan air bersih untuk rakyat negeri Johor.

"Saya juga pernah bawa cadangan kepada Mesyuarat Tindakan Daerah agar pelepasan anak ikan dapat dilakukan di sungai," katanya.

Untuk rekod, pada April 2019, kerajaan negeri menutup sebuah kilang sawit yang mencemarkan Sungai Sayong dengan sisa ammonia.

Pada September tahun lalu, ribuan ikan ditemui mati di Sungai Sayong berhampiran perkampungan masyarakat Orang Asli Sayong Pinang di sini, dipercayai berpunca daripada air sungai yang tercemar.

Ringkasan AI

  • Nelayan di sepanjang Ulu Sungai Johor tidak dapat turun ke sungai kerana pencemaran yang berlaku di Sungai Sayong
  • Bund silt pond di hulu Sungai Johor, Kota Tinggi pecah, menyebabkan air bertukar warna dan dipenuhi lumpur
  • Pencemaran menyebabkan banyak ikan mati dan lumpur tebal menutupi dasar sungai, menghalang nelayan daripada menangkap ikan
  • Sebelum kejadian, nelayan boleh memperoleh hasil seperti udang galah dan ikan patin dengan pendapatan mingguan sekitar RM200
  • Pencemaran bukan kali pertama berlaku di kawasan itu, dengan insiden sebelumnya melibatkan cemaran ammonia dan cecair berwarna hitam

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!