Penunggang motosikal cedera di kepala, paha kemalangan depan balai bomba

BAYAN BARU- Seorang penunggang motosikal cedera selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di hadapan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bayan Baru di sini malam Selasa.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, dalam kejadian kira-kira jam 8.05 malam itu, mangsa yang berusia 35 tahun mengalami kecederaan di bahagian kepala serta patah tulang paha.

“Kemalangan membabitkan sebuah kereta jenis Honda HRV dan motosikal Honda Wave. Kejadian tersebut berlaku selepas panggilan baris antara pasukan yang masuk dan selesai bertugas di balai berkenaan.
“Sepasukan bomba bergegas ke lokasi sebaik menerima maklumat dan tiba pada masa yang sama dengan kejadian kerana jaraknya hanya kira-kira satu kilometer dari balai,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Beliau menambah, mangsa telah diberikan rawatan awal oleh anggota bomba sebelum dihantar ke Hospital Pulau Pinang menggunakan ambulan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) untuk rawatan lanjut.
"Operasi yang tidak melibatkan agensi bantuan luar itu tamat sepenuhnya pada jam 8.53 malam, dengan kekuatan tiga anggota termasuk penyelia dan satu jentera EMRS," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

