Lelaki menyorok dalam 'parcel', rompak barang kemas

CHINA – Seorang lelaki di wilayah Hunan bersembunyi dalam kotak kayu dan menggunakan khidmat penghantaran bagi menceroboh sebuah pangsapuri sebelum merompak barang kemas bernilai lebih 200,000 yuan (RM130,000), lapor South China Morning Post.
Suspek berusia 46 tahun itu dilaporkan menyembunyikan dirinya di dalam kotak kayu itu pada 9 Oktober lalu dengan tujuan mengelak daripada dikesan kamera litar tertutup (CCTV) di bangunan berkenaan.
Sebaik kotak tersebut dibawa masuk ke laluan keluar bangunan di Hunan, suspek keluar dan mengekori seorang wanita yang baru pulang ke rumah.
Dia kemudian mendakwa datang untuk 'menuntut hutang' sebelum memaksa wanita itu membuka peti keselamatannya.
Suspek melarikan barang kemas emas seberat 230 gram bernilai lebih 200,000 yuan serta 2,000 yuan wang tunai.
Bagi mengelak wanita itu meminta bantuan, suspek memaksanya menelan pil tidur dan ketika mangsa tidak sedarkan diri, suspek menghabiskan kira-kira empat jam membersihkan kediaman tersebut bagi menghapuskan bukti sebelum masuk semula ke dalam kotak sebelum menghubungi satu lagi perkhidmatan penghantaran untuk membawanya keluar.
Beberapa jam kemudian, wanita itu tersedar dan segera menghubungi polis.
Operasi siasatan besar-besaran dilancarkan melibatkan lebih 50 anggota polis yang meneliti rakaman CCTV dan menemu bual saksi.
Selepas seminggu siasatan, polis berjaya menjejak Zhao yang tinggal di wilayah Zhejiang, timur China dan menahannya pada 18 Oktober. Semua barang kemas yang dicuri berjaya dirampas semula.
Menurut laporan itu, Zhao memberitahu pihak berkuasa dia mendapat idea menyembunyikan diri dalam kotak selepas menonton sebuah drama televisyen. Dia turut mengakui terkejut apabila berjaya dikesan dalam tempoh singkat.
Polis tidak mendedahkan secara terperinci kaedah yang digunakan untuk menjejak suspek, namun laporan menyebut rakaman kamera pengawasan, data logistik, cap jari dan isyarat telefon dipercayai memainkan peranan penting dalam penangkapannya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
