[VIDEO] Ibu hamil, suami dipenjara kes rompak barang kemas, curi barang di rumah inap desa
MELAKA - Seorang wanita hamil dan suaminya dijatuhi hukuman penjara selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan berasingan membabitkan kes rompakan barang kemas, pelupusan harta curi dan mencuri di rumah inap desa dalam kejadian berasingan di negeri ini dan Selangor.
Tertuduh, Jasila Jamaruddin, 31, yang sedang mengandung lima bulan dan merupakan ibu kepada empat orang anak, serta suaminya Muhammad Aliff Aiman Zaini, 24, membuat pengakuan bersalah terhadap ketiga-tiga pertuduhan yang dibacakan secara berasingan di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat.
Di Mahkamah Sesyen, Jasila didakwa melakukan rompakan dengan cara merampas seutas rantai tangan emas bernilai RM12,000 milik seorang wanita berusia 42 tahun di hadapan sebuah kafe di Bandar Baru Sungai Udang, kira-kira jam 11 pagi pada 28 Mei lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun, dan boleh dikenakan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Wardah Ishhar memohon agar mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh.
Bagaimanapun, Jasila yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan sedang hamil lima bulan dan mempunyai empat orang anak kecil yang kini berada di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Hakim Haderiah Siri kemudian menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun bermula dari tarikh tangkapan iaitu pada 10 Jun 2025.
Sementara itu, di Mahkamah Sesyen berasingan di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah, Muhammad Aliff yang juga bekas pemandu lori mengaku bersalah atas pertuduhan melupuskan harta curi iaitu seutas rantai tangan emas di sebuah kedai pajak gadai di Hulu Langat, Selangor kira-kira jam 4 petang pada tarikh yang sama, 28 Mei.

Tertuduh dijatuhi hukuman penjara satu tahun selepas mengaku bersalah di bawah Seksyen 412 Kanun Keseksaan.
Pasangan itu turut didakwa di Mahkamah Majistret selepas mengaku bersalah mencuri pelbagai barangan dari sebuah unit rumah inap desa di Kota Laksamana, pada jam 1 pagi, 26 April lalu.
Antara barangan yang dicuri termasuk selimut, seterika, cerek dan bantal dengan jumlah keseluruhan nilai RM1,100.
Pendakwaan bagi pertuduhan tersebut dikemukakan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh dikenakan denda.
Majistret Uthman Abd Ghani menjatuhkan hukuman penjara lima bulan kepada kedua-dua tertuduh, berkuat kuasa dari tarikh tangkapan pada 4 Jun 2025.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

