‘Plastik sampah’ ganti PPE

Contoh pemakaian PPE sebenar oleh petugas kesihatan di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Hilir Perak.
Contoh pemakaian PPE sebenar oleh petugas kesihatan di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Hilir Perak.
A
A
A

PENULARAN wabak koronavirus (Covid-19) memberi impak yang cukup besar buat negara, ekonomi serta rakyat.

Tambahan lagi apabila berlaku peningkatan lebih banyak kes jangkitan yang kini mencecah 1,624 kes serta angka kematian seramai 15 orang di Malaysia.

Namun begitu yang lebih terkesan sudah tentu pasukan yang berada di barisan hadapan iaitu petugas kesihatan termasuk doktor dan jururawat yang sanggup mengambil risiko untuk merawat dan mengekang wabak ini dari hari pertama ia menular ke negara.

Kini lebih membimbangkan apabila banyak dilaporkan bekalan peralatan perubatan seperti Peralatan Perlindu-ngan Diri (PPE) serta beberapa keperluan lain termasuk cecair pembersihan dan keperluan makmal tidak mencukupi, malah tidak dapat menampung keper-luan di hospital dalam menangani pesakit Covid-19.

Menurut seorang petugas kesihatan yang enggan dikenali, keperluan peralatan perubatan di setiap hospital adalah berbeza bergantung kepada jumlah kes yang diterima.

Katanya, masalah bekalan tidak mencukupi ini kebanyakannya lebih dirasai petugas-petugas kesihatan di hospital besar.

“Ada yang mengalami masalah kekurangan peralatan perubatan ini sejak awal gelombang kedua Covid-19 dan ada juga yang baru seminggu ini terkesan.

“Kebanyakan hospital terputus bekalan PPE sehingga terpaksa menjadi kreatif dengan membuat face shield sendiri iaitu menggunakan span, plastik lutsinar dan plastik sampah untuk perlindungan di bahagian kepala, muka/mata serta leher.

Artikel Berkaitan:

“Petugas kesihatan terlibat biasanya akan buat lebih untuk dipakai dalam tempoh beberapa hari bagi menggantikan PPE sebenar, tambah lagi ia hanya boleh digunakan untuk sekali pakai,” katanya.

Info PPE
Info PPE

Katanya, walaupun petugas kesihatan terpaksa memakai ‘plastik sampah’ yang tidak menjamin perlindungan, dalam keadaan terdesak ia tetap membantu dan itu saja pilihan yang mereka ada.

“Ada antara kami sampai kena mandi sekurang-kurangnya sembilan kali sehari bagi memastikan kebersihan diri serta untuk elak jangkitan selepas merawat atau mengendalikan pesakit Covid-19, malah ada juga yang demam kerana mandi berlebihan,” katanya.

Menurut petugas itu lagi, di sesetengah hospital lain pula ada yang sangat memerlukan peralatan makmal seperti alat untuk membuat ujian swab (kapas kesat) iaitu mengambil sampel dari kerongkong serta hidung.

“Alat ini paling penting kerana ia menentukan sama ada seseorang itu positif atau negatif Covid-19,” katanya.

Menurut seorang lagi petugas kesihatan, cecair pembasmi kuman, sarung tangan serta penutup mulut dan hidung semakin berkurangan di tempatnya bertugas.

Katanya, itu adalah antara peralatan asas yang sangat diperlukan ketika ini dan beliau berharap bekalan baharu akan sampai segera.

Peruntukan tambahan

Pengumuman oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kelmarin memaklumkan Kementerian Kesihatan (KKM) akan diberi peruntukan tambahan RM500 juta bagi membiayai pembelian peralatan perubatan seperti ventilator dan peralatan ICU (unit rawatan rapi), PPE tambahan bagi kakitangan perkhidmatan perubatan awam serta keperluan makmal untuk saringan Covid-19 dijangka memberi sinar baharu kepada para petugas barisan hadapan ini.

Selain itu, kerajaan juga akan menyalurkan peruntukan RM100 juta khusus untuk pelantikan 2,000 kakitangan baharu KKM secara kontrak.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah pula memberitahu, KKM berjaya memperoleh stok bekalan PPE sebanyak 33 juta unit dan ia sekali gus dapat menampung penggunaan di semua fasiliti kesihatan. Stok itu akan diedarkan dalam minggu ini.

Seorang sumber memberitahu Sinar Harian, kakitangan baharu terdiri daripada jururawat difahamkan sudah mula melaporkan diri di hospital-hospital yang kekurangan kakitangan mulai semalam.

PPE amat penting untuk melindungi para petugas kesihatan daripada dijangkiti atau terdedah kepada wabak Covid-19.
PPE amat penting untuk melindungi para petugas kesihatan daripada dijangkiti atau terdedah kepada wabak Covid-19.

Dalam pada itu, Pakar Perubatan Keluarga KKM, Dr Suhazeli Abdullah ketika dihubungi Sinar Harian berkata, semua pihak diminta bersabar kerana kerajaan sudah memberi jaminan bahawa bekalan PPE mencukupi.

“Ia baru sahaja diumumkan semalam (kelmarin) dan prosesnya akan mengambil sedikit masa.

“KKM kini sedang bertungkus-lumus melakukannya bagi memastikan alat PPE itu dapat diedarkan secepat mungkin untuk kegunaan hospital,” katanya.

Ketika mengulas tentang alternatif yang boleh dilakukan pihak hospital atau petugas kesihatan sementara menunggu bekalan peralatan perubatan tiba, Dr Suhazeli berkata, ia bergantung kepada kreativiti mereka sendiri.

“Terpulang kepada mereka tetapi ia perlu mematuhi prosedur standard ditetapkan,” katanya.

Guna saluran farmasi edar kepada pengguna

Pengagihan 10 juta penutup muka percuma kepada rakyat negara ini yang memerlukan dan terjejas dengan penularan wabak koronavirus (Covid-19) perlu dibuat secara teratur oleh kerajaan.

Presiden Persatuan Farmasi Malaysia, Amrahi Buang berkata, antara yang boleh dibuat kerajaan ialah dengan menjadikan farmasi sebagai salah satu saluran untuk mengedarkan penutup muka tersebut.

“Sebagai contoh apabila pengguna datang ke farmasi untuk beli ubatan atau sebagainya, ahli farmasi boleh mainkan peranan dengan membuat saringan awal ke atas mereka, sediakan tempat basuh tangan sebelum masuk, beri penerangan tentang bahaya Covid-19 dan setelah mereka bayar barangan dibeli, baru kita berikan penutup muka percuma itu.

“Dengan cara ini, pemberian penutup muka itu adalah lebih bersasar. Jika main beri saja, ia ibarat kerajaan buang duit begitu saja, tiada kesan,” katanya.

kkm3
kkm3

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan akan mengagihkan 10 juta penutup muka percuma kepada rakyat negara ini yang memerlukan dan terjejas dengan penularan Covid-19.

Selain itu, Amrahi berkata, kerajaan juga perlu melindungi doktor dan kakitangan di klinik swasta, ahli dan kakitangan farmasi untuk memastikan perkhidmatan mereka berterusan.

“Kemudahan seperti peralatan perlindungan diri (PPE) umpamanya bukan perlu diberi kepada hospital kerajaan saja tapi harus juga diberikan kepada klinik swasta dan farmasi kerana mereka ini adalah pusat-pusat rawatan utama primer.

“Ramai yang datang buat pemeriksaan di sini sebelum dirujuk ke hospital, jadi perlindungan harus diberikan kepada mereka juga,” katanya.