Misteri ‘Bahtera Nabi Nuh’ kembali diselongkar

Noah’s Ark Scans pada 23 September lalu mengumumkan penggerudian teras telah bermula di lokasi berkenaan. Foto Agensi
Noah’s Ark Scans pada 23 September lalu mengumumkan penggerudian teras telah bermula di lokasi berkenaan. Foto Agensi
A
A
A

DOĞUBAYAZIT – Misteri Formasi Durupınar, (struktur geologi berbentuk seperti kapal sepanjang kira-kira 157 meter) berhampiran Gunung Ararat, kembali diselongkar menerusi ekspedisi saintifik antarabangsa di timur Turkiye.

Formasi yang sejak lebih enam dekad dikaitkan dengan Bahtera Nabi Nuh itu kini menjadi tumpuan pasukan terdiri daripada ahli arkeologi, geologi, sains tanah dan pakar teknikal dari beberapa negara.

Noah’s Ark Scans pada 23 September lalu mengumumkan penggerudian teras telah bermula di lokasi berkenaan, dengan sampel diambil dari dalam dan luar formasi sehingga kedalaman 18 meter untuk menjalani analisis makmal. Bagaimanapun, sumber itu tidak menyatakan tarikh tepat keseluruhan ekspedisi 2026 bermula.

Ekspedisi itu diketuai ahli arkeologi Sivas Cumhuriyet University, Prof Dr Cenker Atila dengan Andrew Jones daripada Noah’s Ark Scans mengetuai kerjasama antarabangsa.

Penyelidikan berkenaan turut mendapat kebenaran rasmi daripada agensi kerajaan Turkiye.

Formasi Durupınar pertama kali dikenal pasti oleh Kapten Tentera Turkiye, İlhan Durupınar pada 1959.

Sejak itu, penyelidik berdebat sama ada struktur tersebut sekadar pembentukan geologi semula jadi atau kemungkinan tinggalan sebuah kapal kayu besar.

Berbeza dengan kebanyakan kajian terdahulu yang tertumpu kepada pemerhatian permukaan, fotografi dan imbasan geofizik, ekspedisi kali ini turut mendapatkan sampel fizikal dari bawah permukaan.

Antara penemuan awal dilaporkan pasukan itu ialah lapisan kaya bahan organik dan beberapa rongga di bawah tanah.

Artikel Berkaitan:

Dalam satu penggerudian kira-kira empat hingga lima meter di bawah permukaan, mata gerudi terkena lapisan luar biasa keras sehingga alat tersebut pecah.

Jones berkata, kayu membatu atau bahan bermineral tinggi adalah antara kemungkinan yang mahu disiasat.

“Apa sahaja yang terkena mata gerudi itu lebih keras daripada batu kapur, cukup keras sehingga memecahkan mata gerudi,” katanya.

Formasi kuarza menyerupai kayu yang ditemui seorang pelancong di tapak Durupinar. Foto Agensi
Formasi kuarza menyerupai kayu yang ditemui seorang pelancong di tapak Durupinar. Foto Agensi

Bagaimanapun, kemungkinan tersebut masih perlu dibuktikan menerusi ujian makmal pihak ketiga dan belum ada pengesahan bahawa bahan itu merupakan kayu atau sebahagian daripada Bahtera Nabi Nuh.

Pasukan penyelidik turut menggunakan pemetaan GPS berketepatan tinggi, pemodelan digital tiga dimensi, persampelan tanah serta pengimejan bawah permukaan.

Imbasan terdahulu dilaporkan mengesan beberapa ciri linear, persilangan bersudut tepat dan rongga memanjang yang ditafsirkan pasukan penyelidik sebagai kemungkinan laluan atau ruang seperti bilik.

Selain itu, penyelidik merancang menggunakan robot penerokaan bawah tanah dikenali sebagai GOPHER untuk memasuki beberapa rongga yang telah dipetakan menggunakan radar penembusan tanah dan kaedah geofizik lain.

Sampel yang dikumpulkan akan menjalani beberapa analisis termasuk kandungan organik, mineralogi dan pemeriksaan mikroskopik bagi membantu menentukan komposisi sebenar bahan di bawah formasi tersebut.

Atila berkata, hasil terperinci analisis tanah dijangka memberikan maklumat tambahan yang dapat membantu penyelidik memahami sifat sebenar Formasi Durupınar.

Pasukan itu merancang meneruskan penyelidikan pada 2027 dan tahun-tahun berikutnya, manakala kenyataan saintifik lanjut dijangka dibuat selepas analisis makmal selesai. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!