Wanita ditemui maut dipercayai dibunuh suami

Lokasi kejadian seorang wanita dipercayai dibunuh suaminya di sebuah rumah pekerja ladang di Felda Umas, Kalabakan, Tawau.
Lokasi kejadian seorang wanita dipercayai dibunuh suaminya di sebuah rumah pekerja ladang di Felda Umas, Kalabakan, Tawau.
A
A
A

TAWAU - Seorang wanita maut dipercayai dibunuh suaminya dalam kejadian di sebuah rumah pekerja ladang di Felda Umas, Jalan Kalabakan, petang Isnin.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, dalam kejadian kira-kira jam 4.55 petang itu, mangsa ialah wanita warga Indonesia berusia 37 tahun yang bekerja di ladang berkenaan.

"Mangsa ditemukan tidak sedarkan diri di rumah berkenaan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan kira-kira jam 8.16 malam," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, susulan kejadian itu, polis telah menahan seorang lelaki warga Indonesia berusia 38 tahun yang merupakan suami mangsa.

"Suspek turut mengalami kecederaan pada bahagian leher dan kini menerima rawatan di Hospital Tawau.

"Siasatan di tempat kejadian mendapati terdapat kecederaan pada bahagian kepala, leher dan tangan mangsa," katanya.

Rosdi berkata, pemeriksaan di lokasi turut membawa kepada rampasan beberapa barang kes, termasuk sabit dan kayu untuk membantu siasatan.

"Siasatan lanjut mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada masalah hubungan rumah tangga selepas mereka kembali daripada bercuti.

"Bagaimanapun, punca sebenar kejadian masih dalam siasatan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

"Polis masih menjalankan siasatan menyeluruh termasuk pemeriksaan forensik, analisis ujian asid deoksiribonukleik (DNA), laporan perubatan dan bedah siasat bagi melengkapkan siasatan.

"Sebarang pengakuan awal suspek masih tertakluk kepada pengesahan melalui bukti-bukti lain yang diperoleh sepanjang siasatan," katanya.

Sehubungan itu, katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan.

"Orang ramai boleh menghubungi pegawai penyiasat jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau Asisten Superintenden Maliki Majuni di talian 017-898 9171 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!