Penerima bantuan tarik diri selepas rumah diletak pelekat 'Keluarga Miskin'

Ketua Jabatan Kebajikan Sosial Daerah Kepahiang, Helmi Johan, menampal pelekat 'Keluarga Miskin' pada rumah penerima bantuan sosial kerajaan. Agensi
Ketua Jabatan Kebajikan Sosial Daerah Kepahiang, Helmi Johan, menampal pelekat 'Keluarga Miskin' pada rumah penerima bantuan sosial kerajaan. Agensi
A
A
A

JAKARTA – Menteri Hal Ehwal Sosial Indonesia, Saifullah Yusuf, tampil mengulas mengenai tindakan sejumlah keluarga yang memilih menarik diri daripada menerima bantuan di bawah Program Harapan Keluarga (PKH), selepas rumah mereka ditandakan dengan pelekat bertulis 'Keluarga Miskin'.

Saifullah, yang lebih dikenali sebagai Gus Ipul, menjelaskan bahawa tindakan menampal pelekat berkenaan merupakan inisiatif kerajaan tempatan, bukan arahan daripada kerajaan pusat.

“Itu merupakan inisiatif pihak berkuasa tempatan, bukan dasar yang dikeluarkan oleh Kementerian Hal Ehwal Sosial,” katanya pada Selasa (28 Oktober 2025).

Menurut beliau, peruntukan bantuan bagi keluarga yang menarik diri akan disalurkan semula kepada penerima baharu yang menepati kriteria kelayakan.

“Ya, sudah tentu peruntukan tersebut akan dialihkan kepada keluarga yang benar-benar layak,” ujar Gus Ipul, seperti dilaporkan wartawan Kompas TV, Cindy Permadi.

Dalam tempoh lima hari kebelakangan ini, pasukan pemantau bersama kerajaan tempatan telah turun padang bagi menjalankan semakan menyeluruh.

Hasil pemeriksaan mendapati lebih dua juta keluarga penerima manfaat dikenal pasti tidak lagi layak menerima bantuan tersebut.

“Setakat hari ini, terdapat lebih dua juta keluarga yang tidak memenuhi syarat kelayakan untuk menerima bantuan sosial,” katanya lagi.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan-kerajaan negeri yang proaktif mengemas kini data penerima bantuan bagi memastikan ketelusan dan ketepatan agihan.

Artikel Berkaitan:

Insiden itu mula menarik perhatian umum di Daerah Kepahiang, Wilayah Bengkulu, apabila beberapa penerima bantuan PKH bertindak menarik diri selepas pegawai Jabatan Sosial cuba menampal pelekat 'Keluarga Miskin' di rumah mereka pada 20 Oktober 2025.

Tindakan tersebut mencetuskan perdebatan di seluruh negara dengan sesetengah pihak menilai ia boleh menimbulkan stigma terhadap golongan miskin, manakala yang lain melihatnya sebagai langkah perlu bagi memastikan ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam pengagihan bantuan sosial.-Agensi

Ringkasan AI

  • Tindakan keluarga menarik diri dari Program Harapan Keluarga (PKH) di Indonesia selepas rumah ditandai sebagai 'Keluarga Miskin'
  • Inisiatif menampal pelekat adalah dari pihak berkuasa tempatan, bukan arahan Kementerian Hal Ehwal Sosial
  • Bantuan untuk keluarga yang menarik diri akan dialihkan kepada penerima baharu yang layak
  • Lebih dua juta keluarga diketahui tidak layak lagi menerima bantuan PKH setelah pemeriksaan
  • Insiden menimbulkan perdebatan nasional tentang stigma dan transparansi dalam agihan bantuan sosial

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!