Netanyahu hampir rebah gara-gara menterinya hina Arab Saudi

JERUSALEM - Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dilaporkan mengamuk terhadap Menteri Kewangannya, Bezalel Smotrich yang mengeluarkan kenyataan menghina Arab Saudi kerana tindakan itu dianggap boleh menggagalkan usaha menormalisasikan hubungan antara kedua-dua negara.
Menurut laporan The New Arab, beberapa pegawai kanan Netanyahu hampir memanggil doktor kerana bimbang keadaan kesihatan beliau selepas kemarahannya terhadap Smotrich meledak.
Kemarahan Netanyahu memuncak sebaik dimaklumkan bahawa menteri berhaluan kanan itu ketika berucap di sebuah persidangan, menyindir bahawa jika Arab Saudi mahu Israel mengiktiraf negara Palestin sebagai syarat normalisasi hubungan, maka negara itu boleh 'teruskan menunggang unta di padang pasir'.
Sumber kerajaan yang dipetik portal berita Walla mendedahkan, jeritan Netanyahu ketika memarahi Smotrich 'boleh didengari hingga ke penempatan Kedumim dan seluruh kawasan Samaria di Tebing Barat'.
Ahli Parlimen sayap kanan, Avigdor Liberman turut mengesahkan bahawa suasana di pejabat Perdana Menteri menjadi tegang hingga para pembantu bimbang Netanyahu akan rebah.
“Tidak pernah ada jeritan seperti itu di pejabat Perdana Menteri sejak ia ditubuhkan,” katanya sambil menambah bahawa Smotrich segera membuat permohonan maaf kerana tahu kemarahan Netanyahu amat serius.
Netanyahu kini giat berusaha menambah Arab Saudi ke dalam rangkaian Abraham Accords iaitu perjanjian normalisasi yang sebelum ini disertai Emiriah Arab Bersatu, Bahrain dan Maghribi. Namun, rundingan tersebut terbantut sejak tercetusnya perang kejam di Gaza.
Smotrich, yang juga tokoh utama gerakan penempatan Yahudi, tegas menolak penubuhan negara Palestin dan menyokong pembentukan 'Israel Raya' yang merangkumi wilayah 1948, Gaza serta Tebing Barat.
Dalam kenyataan asalnya, Smotrich berkata:“Jika Arab Saudi berkata ‘normalisasi sebagai pertukaran dengan negara Palestin,’ jawapan saya ialah tidak, terima kasih. Teruskan menunggang unta di padang pasir.”
Kenyataan itu mencetuskan kemarahan bukan sahaja di Riyadh, malah dalam kalangan pembangkang Israel sendiri yang melihat normalisasi dengan Arab Saudi sebagai kunci kepada penerimaan Israel dalam rantau Asia Barat.
Selepas tekanan hebat, Smotrich akhirnya memohon maaf secara terbuka.
“Kenyataan saya terhadap Arab Saudi amat tidak wajar dan saya memohon maaf atas penghinaan yang timbul daripadanya,” katanya.
Bagaimanapun, Smotrich tetap menegaskan bahawa beliau mengharapkan Arab Saudi tidak menafikan hak bangsa Yahudi ke atas tanah bersejarahnya di Judea dan Samaria serta menegakkan perdamaian sejati.”
Insiden berkenaan dilihat menjejaskan reputasi diplomatik kerajaan Netanyahu tatkala Israel masih berdepan kecaman antarabangsa akibat serangan berterusan di Gaza. - Agensi
Ringkasan AI
- Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu marah besar terhadap Menteri Kewangan Bezalel Smotrich kerana menghina Arab Saudi
- Kemarahan Netanyahu berpunca daripada komen Smotrich yang menyindir Arab Saudi tentang pengiktirafan negara Palestin
- Jeritan Netanyahu memarahi Smotrich menimbulkan kebimbangan tentang kesihatan beliau
- Netanyahu berusaha menormalisasikan hubungan dengan Arab Saudi melalui perjanjian Abraham Accords
- Smotrich akhirnya memohon maaf setelah kenyataannya mencetuskan kemarahan di Riyadh dan dalam kalangan pembangkang Israel
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

