Senyum di depan, tikam di belakang

DALAM dunia yang penuh ‘emoji’ kasih sayang dan ucapan manis di media sosial, sebenarnya ramai antara kita sedang bermain watak dalam skrip kepura-puraan.
Dalam persahabatan, perhubungan, malah persaudaraan - sikap hipokrit ini makin subur tumbuh seperti kulat selepas hujan.
Kita kata sayang, tapi dalam diam menyimpan iri. Kita peluk depan orang, tapi menikam dalam group lain.
Aneh, manusia sekarang lebih takut dilihat jujur daripada dilabel ‘tak pandai jaga hati orang’.
Bagi Merak, hipokrasi ini licik, dia tak datang dalam bentuk amarah atau caci-maki, tapi dalam bentuk senyuman manis dan “tak apa, saya ok je.”
Hakikatnya, dalam hati ada api yang sedang menyala, tunggu masa nak membakar.
Dalam persahabatan, hipokrasi mencipta jurang halus yang perlahan-lahan memutuskan keikhlasan.
Dalam perhubungan, ia menipu rasa cinta jadi mainan ego. Dalam persaudaraan, ia membunuh kepercayaan yang sepatutnya menjadi benteng terakhir.
Yang paling menyedihkan, ramai tidak sedar diri mereka sebenarnya sedang menyumbang kepada barah ini.
Kita sibuk membina imej ‘baik di mata orang’, sampai lupa untuk jadi manusia yang benar.
Kalau kita masih berpura-pura demi kelihatan sempurna, jangan hairan satu hari nanti kita kehilangan semua yang benar-benar tulus.
Sebab akhirnya, kepura-puraan tak pernah memenangi apa-apa, ia cuma menjadikan kita pelakon tragik dalam kisah hidup sendiri.
Jadi, kalau masih ada kawan, pasangan, atau saudara yang berani menegur dengan jujur; hargailah mereka.
Dunia sudah terlalu sesak dengan hipokrasi; yang jujur semakin pupus.
Jangan tunggu barah ini membunuh, baru kita sedar bahawa kejujuran sebenarnya ubat yang paling mujarab.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
